Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin bercakap pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Hari Pendengaran Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022 di Hospital Serdang pada 3 Mac 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kes buli pelatih, Khairy dedah doktor pakar antara terlibat

SHAH ALAM, 12 MEI: Lima nama yang didakwa membuli doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang (HPP) turut membabitkan doktor pakar, dedah menteri kesihatan.

Namun, menurut Khairy Jamaluddin, individu yang didakwa dalam kes berkenaan masih bekerja seperti biasa dengan siasatan terus berjalan, lapor Berita Harian.

“Kita tidak boleh memindah keluar atau menggantung tugas doktor berkenaan, ada nama yang dihantar itu turut membabitkan peringkat pakar.

“Bukan senang kita nak pindah keluar doktor pakar. Jadi buat masa ini semua masih bertugas seperti biasa dan siasatan masih berjalan,” katanya.

Sebelum itu, Khairy memaklumkan senarai ahli jawatankuasa petugas bebas bagi menyiasat kes buli dalam kalangan doktor pelatih diumumkan esok.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Pulau Pinang Dr Norlela Ariffin berkata nama doktor di HPP yang didakwa pembuli sudah diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun, jelasnya, mereka tidak mempunyai kaitan dengan kematian seorang doktor pelatih di hospital sama yang dilaporkan terjatuh dari unit kediamannya di Georgetown pada 17 April lalu.

 


Pengarang :