AGENDANASIONAL

Kes tembak di hotel, polis kesan dua lelaki bantu siasatan

KUALA LUMPUR, 4 MEI: Polis sedang giat mengesan dua lelaki warga tempatan yang sudah dikenal pasti identiti mereka bagi membantu siasatan berhubung kejadian kes tembak di sebuah hotel di Bukit Bintang, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata kedua-dua suspek terbabit berusia dalam lingkungan 40-an dan 50-an, manakala seorang lagi lelaki tempatan ditahan di lokasi kejadian semalam.

“Lelaki yang ditahan semalam direman enam hari bermula hari ini sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata motif dan hubungan antara mangsa dan kesemua suspek masih dalam siasatan.

Semalam, media melaporkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Habibi Majinji berkata seorang lelaki tempatan ditemukan maut dengan kesan tembakan di dahi dalam kejadian di sebuah bilik hotel di Bukit Bintang, sejam selepas mangsa mendaftar masuk.

Katanya perkara itu disedari seorang pekerja hotel berkenaan yang memasuki bilik tersebut dan kemudian menghubungi polis kira-kira 7 malam dan hasil pemeriksaan di dalam sebuah bilik di hotel berkenaan menemukan mayat mangsa berusia 49 tahun.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

-BERNAMA

 


Pengarang :