Sissy Imann kongsi kisah lucu masak juadah hari raya ketika zaman remaja. Foto instagram SissyImann
PERSONALITIRENCANA

Kisah penyanyi Sissy Imann baling ketupat ke dinding

Penyanyi muda Sissy Imann semakin menyinar dalam industri hiburan negara. Selain menyanyi, keletahnya yang bersahaja turut menyerlahkan bakatnya sebagai pengacara program.

Terbaru, pemilik suara lagu popular Mungkin Kamu diberi kepercayaan menjadi hos program Muzik-Muzik tahun ini bergandingan bersama selebriti Aliff Satar. Malah untuk Syawal tahun ini, Sissy Imann terus diberi amanah memeriahkan pelbagai program hari raya termasuk Senandung Aidilfitri yang disiarkan pada 2 Syawal lalu.

Wartawan Zareef Muzammil mencungkil kisah Sissy Imann berhari raya zaman remaja dalam wawancara pada 30 Mac lalu.

Pengalaman satu Syawal kira-kira 12 tahun lalu masih terpahat dalam ingatan penyanyi, pelakon dan pengacara, Sissy Imann.

Tatkala ramai remaja perempuan leka menggayakan pakaian raya baharu, Sissy Imann yang ketika itu berusia 15 tahun sibuk di dapur merebus ketupat.

Semuanya kerana mahu mempamerkan bakat memasak juadah tradisional Aidilfitri yang dipelajari daripada arwah neneknya.

Bagaimanapun, keterujaan anak kedua daripada tiga beradik ini terencat disebabkan 50 biji ketupat yang dimasaknya tidak menjadi.

Silapnya Sissy Imann mengisi beras terlalu penuh dalam anyamannya menyebabkan ia terlalu kembang dan menjadi keras apabila dimasak.

Semua ketupat dibalingnya ke dinding. Lantas semangat pemilik nama lengkap Sissy Imann Mohamad Kamil untuk menyambut lebaran pada waktu itu pudar.

“Ingatkan bila pandai menganyam, rasa ketupat sedap, rupanya tidak. Padahal ketika itu memang saya cukup yakin ia akan menjadi walau baharu kali pertama masak.

“Sedih pun ada sebab tidak berpeluang makan ketupat air tangan sendiri,” katanya mengimbas insiden lucu yang berlaku di kediamannya di Cheras.

Kesal dengan perisitiwa tersebut, anak kelahiran Kuala Lumpur ini sekadar menjamah nasi impit dengan kuah kacang pada pagi itu.

Meski cubaan pertama gagal, Sissy Imann tidak berputus asa. Tahun-tahun berikutnya, beliau memperbaiki teknik menyediakan juadah berkenaan sehingga mahir memasak ketupat warisan neneknya untuk hidangan hari raya.

Tidak seperti kebanyakan figura awam lain, Sissy Imann yang menempa nama dalam industri muzik tanah air menerusi program Big Stage musim pertama pada 2018 meraikan lebaran di Kuala Lumpur sejak kecil.

Bapanya berasal dari Singapura manakala ibunya dari Keramat. Semua saudara-mara pula menetap sekitar Lembah Klang. Situasi itu menyebabkan gadis berusia 27 tahun ini tidak pernah merasai suasana beraya di kampung.

Bagaimanapun, pelantun lagu Mungkin Kamu seronok beraya di ibu kota, malah banyak kenangan manis dilalui sewaktu zaman kanak-kanak.

Pengalaman bermain bunga api bersama adik-beradik, sepupu dan kawan-kawan di taman permainan pada malam Syawal tetap dirindui sehingga kini.

“Dulu saya tinggal dengan nenek di Keramat. Adik-beradik termasuk sepupu lain juga membesar di situ. Di depan rumah nenek pula ada taman permainan yang luas, jadi kami bersama jiran main bunga api sama-sama.

“Walaupun hanya bermain bunga api, tetapi ayahanda sentiasa pantau kerana risau jika apa-apa tidak diingini berlaku. Ayahanda memang tidak benarkan saya main mercun berbahaya,” katanya.

Sissy Imann menerima banyak kiriman kuih raya daripada peminat. Foto instagram SissyImann

Suasana berbeza

Lembaran kehidupan Sissy Imann berubah 180 darjah sejak bergelar anak seni sehingga menghadirkan suasana berbeza ketika menyambut Aidilfitri.

Diusik setiap kali berkunjung ke rumah saudara-mara hingga menjadi kebiasaan, beliau tidak pernah tersinggung.

Sebaliknya, Sissy Imann yang juga lulusan jurusan pendidikan muzik di Institut Pendidikan Guru (IPG) Ilmu Khas, Cheras tetap teruja berkumpul bersama keluarga meraikan kemenangan selepas sebulan berpuasa.

“Bezanya sekarang orang lebih kenal. Bila kenal, mesti ada usikan manja. Kalau pergi rumah saudara-mara mereka akan cakap, “artis bagi duit raya la”.

“Tapi saya tidak kisah pun, bagi mereka itu sebahagian daripada gurauan dan benda itu sebenarnya menceriakan lagi suasana raya,” katanya.

Pengacara program hiburan popular Muzik-Muzik awal tahun ini turut mengakui sering menerima kejutan istimewa daripada kelab peminat Cyntahati Sissy Imann Official.

Saban tahun menjelang Syawal, banyak kiriman kuih raya diterima daripada peminat setia. Kebanyakannya kek lapis yang diterbangkan dari Bumi Kenyalang.

“Peminat tahu saya gemar makan kek lapis. Kebetulan pula pentadbir kelab itu memang orang Sarawak, jadi setiap tahun mereka akan hantar 10 kek lapis pelbagai jenis. Semuanya sedap-sedap.

“Jadi kalau ada tetamu yang datang beraya di rumah, kiranya rezeki mereka boleh makan sama-sama,” tambah bintang drama Tolong Aku Doktor Cinta.

Rai sederhana

Syawal kali ini, hos program Idola Kecil di Rumah bersyukur kerana banyak kelonggaran diberikan susulan fasa peralihan endemik selepas dua tahun dihimpit kekangan akibat wabak.

Pun begitu, lebaran Sissy Imann bagai hilang seri berikutan pemergian dua nenek tersayang termasuk nenek tiri yang menghembuskan nafas terakhir pada April tahun lalu.

Sayu mengenangkan insan istimewa itu, Sissy Imann hanya meraikannya secara sederhana di kediaman baharu dekat Bangi.

“Raya kali ini masih sedih kerana menyambutnya tanpa datuk dan dua nenek. Tambahan pula, arwah nenek handal membuat kuih-muih tradisional dan memasak lauk-pauk, jadi rindu akan masakan mereka.

“Disebabkan itu juga, kami sekeluarga belum memutuskan untuk pulang ke Singapura atau tidak. Kalau boleh mahu beraya di Bangi sahaja sebab kami baru pindah,” katanya.

Menyentuh soal busana raya, artis naungan AG Coco tidak cerewet. Cukup sekadar dua atau tiga pakaian baharu. Paling penting, warna digayakan pagi Syawal sedondon bersama ahli keluarga.

“Bila jadi artis, setiap kali menjalani rakaman program di televisyen saya akan pakai baju baharu, jadi pada hari raya saya cuba bersederhana dan ringkas sahaja.

“Lazimnya warna pakaian kami sekeluarga pada raya pertama mesti sama. Tahun lepas saya pakai baju kurung Kedah, manakala tahun sebelumnya kebaya dan tahun ini mungkin fesyen lain pula,” katanya.

Keluarga beliau turut meneruskan tradisi memasak juadah berbeza pada tujuh hari pertama Syawal. Beberapa hari sebelum lebaran, bondanya akan menyenaraikan menu untuk dimasak.

“Misalnya hari pertama bonda masak laksa Johor, keesokannya nasi beriani atau nasi Arab sampai cukup tujuh hari, tetapi ketupat dan rendang wajib ada,” katanya.

Seperti penyanyi lain, Sissy Imann juga memasang impian untuk memiliki lagu raya nukilan sendiri. Buat masa ini, penyanyi lagu Bebas yang juga lagu runut bunyi drama Perisik Cinta Tak Diundang sudah menyiapkan sebuah lagu raya berkonsep moden, namun belum melalui proses rakaman berikutan kesuntukan waktu.

Atas faktor itu, Sissy Imann merancang untuk melancarkan lagu raya tersebut tahun depan sebagai buah tangan terbaharu buat peminat.

“Lagu raya sememangnya sinonim dengan tradisional sedangkan kekuatan saya bukan pada lagu tradisional. Jadi, insya-Allah tahun depan saya akan keluarkan naskhah raya yang mempunyai elemen moden,” katanya.

Mengenai lagu raya kegemaran, pelakon drama Kariah Cak Pong meminati karya berjudul Selamat Hari Raya nyanyian biduanita Puan Sri Saloma.

Malah, setiap kali diundang menjalani rakaman program sempena Syawal, Sissy Imann memilih untuk mendendangkan lagu klasik tersebut kerana bait liriknya mudah dihafal dan dinyanyikan.

“Saya juga suka dengar lagu Balik Kampung nyanyian Allahyarham Sudirman. Kemeriahan pulang ke kampung untuk beraya dapat dirasai melalui lagu itu.

“Masakan tidak, masa itu kita akan rasa teruja untuk berjumpa dengan sanak-saudara setelah setahun tidak bersua muka,” katanya.


Pengarang :