Maskot beruang memberi semangat kepada kanak-kanak yang menerima suntikan vaksin Covid-19 pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan untuk Kanak-kanak (PICKids) di Tabika Kemas Parlimen Parit pada Februari lalu. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM tidak cadang lanjut program vaksin kanak-kanak

BAGAN SERAI, 21 MEI: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak berhasrat untuk melanjutkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) yang dijadualkan berakhir hujung bulan ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata KKM telah memberi masa yang cukup kepada ibu bapa untuk membawa anak mereka mendapatkan vaksinasi secara percuma.

Sekiranya selepas ini ibu bapa mahu mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 bagi anak mereka, katanya, mereka perlu ke klinik swasta dengan bayaran tertentu.

“Setakat ini kita tidak berhasrat untuk buat (lanjutan). Tempoh yang sepatutnya berakhir pada 15 Mei yang lalu telah dilanjutkan hingga 31 Mei ini, adalah disebabkan memberi peluang kepada ibu bapa untuk membawa anak mereka mendapatkan suntikan vaksinasi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu merasmikan Mesyuarat Agong Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abu Bakar Al-Baqir di sini hari ini.

Dr Noor Azmi berkata jumlah harian kanak-kanak yang mengambil vaksin menunjukkan peningkatan selepas Aidilfitri mulai 17 Mei lepas iaitu 1981 orang pada 16 Mei, 17 Mei (2798), 18 Mei (2806), 19 Mei (3747) dan semalam ialah sebanyak 7,137 orang.

Jelasnya Sarawak mencatatkan peratus tertinggi iaitu 87.4 peratus kanak-kanak yang telah mengambil suntikan vaksin, diikuti Kuala Lumpur, Johor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Labuan.

– BERNAMA


Pengarang :