Seorang bekas pesakit penyakit tangan, kaki & mulut (HFMD) Nurazila Azren Jalani, 26, menunjukkan parut ditangannya akibat dijangkiti oleh penyakit itu dirumahnya. Selain daripada kanak-kanak, penyakit ini juga boleh dijangkiti oleh orang dewasa. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM tidak galak guna serbuk kunyit, daun semambu rawat HFMD

TAIPING, 22 MEI: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menggalakkan kaedah rawatan alternatif seperti menggunakan serbuk kunyit atau daun semambu bagi merawat penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata sebaliknya orang ramai diminta berjumpa doktor sekiranya mempunyai simptom jangkitan.

“KKM memang tidak galakkan rawatan alternatif kerana ia tidak ditentukan kesahihannya lagi dari sudut sains malah tiada rawatan khusus dari sudut sains bagi merawat penyakit tersebut.

“Kita juga bimbang gejala dehidrasi. Jadi kanak-kanak yang terkena HFMD perlu dipastikan minum air secukupnya. Jika langsung tidak boleh minum air, memang perlu diberikan secara intravenous (suntikan ke dalam salur darah) dan dibawa ke hospital,” katanya yang ditemui pemberita pada majlis jamuan Aidilfitri di kediamannya di sini hari ini.

Pada 17 Mei lepas, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilapor berkata jumlah kes HFMD di negara ini meningkatkan pada kadar membimbangkan iaitu sebanyak 15 kali ganda berbanding tempoh yang sama tahun lepas dengan 31,661 kes dilaporkan.

Dr Noor Hisham berkata 7,526 kes direkodkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 19/2022 yang berakhir pada 14 Mei lepas yang menunjukkan peningkatan sebanyak 349 peratus berbanding ME sebelumnya dengan hanya 1,676 kes di seluruh negara.

– BERNAMA


Pengarang :