Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Sue Lim berucap pada demonstrasi aman tuntutan pesawah di Sekinchan, Sabak Bernam pada 11 Mei 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASELANGOR

Kos operasi meningkat, pesawah khuatir jejas kualiti padi

SEKINCHAN, 11 MEI: Permintaan pesawah di Sabak Bernam supaya harga padi dinaikkan kepada RM1,400 satu tan bakal meringankan beban golongan itu berikutan peningkatan kos operasi.

Menurut Pua Yan Tat, 62, harga semasa yang ditetapkan ketika ini iaitu RM1,200 satu tan tidak mampu menampung kos operasi kerana harga racun dan baja meningkat lebih 150 peratus.

Pua Yan Tat

“Harga sedia ada tidak berubah sejak beberapa tahun lalu. Walaupun harga barang kawalan lain meningkat, harga jualan padi masih sama.

“Lebih 10 tahun lalu harga padi pernah mencecah RM1,500, tetapi kenapa sekarang harga tidak naik? Ia memberi tekanan kepada kami,” katanya kepada Selangorkini.

Hairul Nizam Samsuri, 49, pula berkata jika harga padi tidak dinaikkan, ia mungkin akan menjejaskan kualiti tanaman dan secara tidak langsung boleh menjejaskan pengeluaran negara.

“Kami juga perlu fikirkan keperluan keluarga. Kalau harga baja, racun makin tinggi, mungkin terpaksa kurangkan kegiatan membaja dan meracun, sekali gus memberi kesan pada kualiti tanaman,” katanya.

Sementara itu, Mohd Asri Badrun, 60, mengakui bantuan benih dan baja daripada Kerajaan Negeri banyak membantu petani mengurangkan kos operasi.

Mohd Asri Badrul

“Bagaimanapun itu tidak mencukupi. Kami perlukan harga padi yang tinggi supaya dapat menampung keperluan tanaman,” katanya.

Terdahulu kira-kira 100 petani sekitar Sabak Bernam bersama Ahli Dewan Negeri Sekinchan Ng Suee Lim menggesa kerajaan menaikkan harga padi.

Kumpulan berkenaan turut mendesak potongan basah dikembalikan kepada paras 17 peratus selain subsidi padi dinaikkan daripada RM360 kepada RM500 satu tan.


Pengarang :