AirAsia, syarikat penerbangan yang telah banyak mengharungi cabaran sebelum muncul sebagai peneraju syarikat penerbangan tambang rendah Asia dengan khidmatnya melangkaui lebih 130 destinasi di serata Asia Pasifik. Foto AFP
AGENDANASIONAL

KPDNHEP: AirAsia beri maklum balas dalam 24 jam berhubung rungutan pengguna

PUTRAJAYA, 10 MEI: Syarikat penerbangan AirAsia akan memberi maklum balas berhubung isu pengguna termasuk berkaitan kelewatan dan penjadualan semula penerbangan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam tempoh 24 jam.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata selepas mengumpulkan keluhan, rungutan dan aduan pengguna mengenai isu kelewatan penerbangan AirAsia, KPDNHEP telah membuat penelitian awal dari segi kepentingan pengguna mengikut bidang kuasa kementerian dan menghubungi pengurusan AirAsia bagi mendapatkan maklum balas.

Menurutnya, antara isu berkisar kepada kepentingan pengguna yang diketengahkan menerusi libat urus awal bersama AirAsia adalah penangguhan jadual penerbangan, semakan semula jadual penerbangan sehingga menjangkau lebih enam jam, serta kelayakan pengguna mendapatkan pampasan sekiranya mengalami kelewatan penerbangan sedemikian.

“Bagi memudahkan pengguna, saya meminta AirAsia untuk menyediakan carta aliran mengenai proses memfailkan aduan rasmi bagi mendapatkan pampasan tertakluk kepada garis panduan ditetapkan Mavcom (Suruhanjaya Penerbangan Malaysia) sebagai agensi kawal selia dalam isu itu,” kata Nanta dalam ciapan terbaharu beliau di akaun Twitter rasminya hari ini.

Nanta berkata meskipun perihal mengenai industri penerbangan banyak tertakluk kepada bidang kuasa Kementerian Pengangkutan namun beliau sebagai menteri berkaitan kepenggunaan akan campur tangan sekiranya hak pengguna terkait sama.

“Tiada ‘sembang kari’, cakap tak serupa bikin, ‘siasat dan siasat’ atau sekadar berpeluk tubuh dalam isu ini. Kepentingan pengguna adalah amanah saya sebagai menteri KPDNHEP,” katanya.

Nanta dalam ciapan di Twitter semalam berkata KPDNHEP akan menjalankan siasatan dari sisi kepentingan pengguna berhubung isu kelewatan dan penjadualan semula penerbangan domestik melibatkan AirAsia.

Ia susulan rungutan, aduan dan keluhan yang diterima daripada pengguna berhubung isu kelewatan penerbangan Air Asia ke pelbagai destinasi dalam negara dikesan berlaku sejak hujung bulan lepas dan masih berlanjutan.

-BERNAMA


Pengarang :