Aksi kumpulan XPDC ketika mengadakan persembahan. Foto Facebook XPDC Kita Peng Yu
AGENDASELANGOR

Kumpulan rock XPDC adakan persembahan di Sijangkang 28 Mei

SHAH ALAM, 9 MEI: Kumpulan rock XPDC yang terkenal pada era 1990-an bakal menggegarkan Melaka dan Sijangkang, Selangor menerusi dua persembahan showcase bulan ini.

Menurut Harian Metro, showcase XPDC Rockin @ Waronk Melaka bakal berlangsung 14 Mei manakala XPDC Live Metal & Dine-in di Warisan Hall Sijangkang, Selangor pula pada 28 Mei ini.

Pemain bass, Azuar Md Tasi atau lebih dikenali sebagai Zua berkata peminat boleh mendapatkan tiket berharga RM120 bagi acara di Waronk Melaka dan RM200 (termasuk makanan) bagi persembahan di Warisan Hall Sijangkang.

Selain Zua, XPDC turut dianggotai penyanyi Syed Ismail Syed Ibrahim atau Mael; pemain gitar, Jeffrizul Alias (Jeff) dan pemain dram, Suhaimi Abu Bakar (Amy).

“Kedua-dua showcase ini akan berlangsung secara santai. Di Waronk Melaka, peminat boleh berhibur sambil duduk menikmati makanan dan minuman dengan harga yang berasingan.

“Kami akan menghiburkan mereka dengan rangkaian lagu-lagu popular album-album meletup XPDC iaitu Darjah Satu, Timur Barat, Kita Peng-Yu dan Brutal.

“Untuk Warisan Hall pula, ini ialah showcase kali kedua kami selepas beraksi buat kali pertama pada 2018 yang menyaksikan sambutan yang diterima begitu hangat,” katanya.

Pada masa sama, Zua melahirkan rasa syukur kerana tiket bagi showcase di Waronk Melaka yang mampu memuatkan sekitar 100 peminat itu sudah habis terjual.

Bagi persembahan di Warisan Hall pula, 40 peratus tiket sudah berjaya dijual dan Zua menjangkakan ia akan meningkat pada saat-saat akhir.

“Peminat akan dihiburkan dengan persembahan yang lebih rancak dan agak keras. Kerjasama dengan pihak Warisan Hall menjanjikan sistem bunyi yang mantap dan padu,” katanya.

“Diharapkan peminat-peminat tegar XPDC Kita Peng-Yu hadir menyaksikan showcase ini sekali gus membuktikan muzik rock masih mendapat tempat di hati mereka.

“Semoga persembahan kami dapat mengubati kerinduan selama lebih dua tahun XPDC tidak beraksi di pentas akibat Covid-19,” katanya.

Orang ramai yang berminat mendapat tiket showcase XPDC boleh melayari Facebook XPDC Kita Peng Yu Official atau Warisan Hall Studio.


Pengarang :