EXCO kerajaan tempatan, Ng Sze Han (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif IOI Propeties, Dato’ Voon Tin Yiew (enam, kanan) dan Timbalan Datuk Bandar, Mohd Zulkurnain Che Ali (tujuh, kanan) merasmikan pembukaan laluan pertukaran bandar Rio di Bandar Puteri Puchong pada 27 Mei 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDASELANGOR

Laluan pertukaran bandar Rio kini dibuka, atasi kesesakan pada waktu puncak

SUBANG JAYA, 27 MEI: Laluan pertukaran bandar Rio sepanjang 2.35 kilometer (KM) di Bandar Puteri Puchong di sini yang siap dibina sepenuhnya April lalu mula dibuka secara rasmi hari ini.

Projek pembangunan oleh IOI Properties Group Berhad membabitkan kos RM90 juta mampu menyurai sehingga 90 peratus kesesakan lalu lintas pada waktu puncak.

Menurut EXCO kerajaan tempatan, laluan yang mula dibina pada 2016 itu juga mampu menampung pertambahan kenderaan pada masa akan datang.

Ng Sze Han berkata, projek itu turut membabitkan pembinaan jambatan pejalan kaki berbumbung sepanjang 35 meter bagi meningkatkan akses pengguna ke Pusat Korporat Kewangan Puchong (PFCC) dan Aliran Transit Ringan (LRT) Perindustrian Puchong.

“Ini adalah projek yang sangat penting kepada penduduk setempat dan pengguna lain sekali gus menyaksikan Bandar Puteri menuju ke arah pembangunan mampan.

“Kita berterima kasih kepada pemaju kerana membina projek infrastruktur yang dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas dan menggalakkan lebih ramai orang untuk berjalan kaki,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pembukaan laluan berkenaan di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif IOI Property Group Dato’ Voon Tin Yow dan Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Mohd Zulkurnain Che Ali.

Sementara itu, Tin Yow mengakui bangga apabila projek terbabit mampu disiapkan secara berperingkat sekali gus meningkatkan potensi nilai hartanah di kawasan berkenaan.

“Kita kekal komited untuk menjadi pemaju yang dipercayai dan memahami kepentingan membina komuniti mampan. Infrastruktur yang baik akan menyumbang kemajuan bandar ini,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Datuk Samson David Maman, 68, berkata beliau gembira melihat pembangunan projek baharu di kawasan berkenaan selepas menanti lebih 15 tahun.

“Masa pindah di sini dulu pembangunan tidak cukup, sekarang landskap sekitar kelihatan sangat indah. Laluan pejalan kaki juga lebih selamat terutama untuk kanak-kanak dan paling penting tidak lagi berkongsi dengan pengguna jalan raya lain,” katanya.


Pengarang :