Atlet terjun Ooi Tze Liang memenangi pingat emas dalam acara 1 meter papan anjal individu lelaki di Sukan Sea ke-31, Hanoi, Vietnam pada 9 Mei 2022. Foto BERNAMA
AGENDA SUKANKINI

Layak digelar legenda, Tze Liang menang emas ke-13 peribadi di Sukan Sea

HANOI, 9 MEI: Atlet terjun kebangsaan, Ooi Tze Liang tidak dapat menyembunyikan kegembiraan selepas merangkul pingat emas Sukan SEA yang ke-13 peribadinya di Pusat Akuatik My Dinh di sini, hari ini.

Kejayaan dilakar beliau hadir selepas beliau mendominasi saingan final acara 1 meter (m) papan anjal lelaki Sukan SEA ke-31 yang berlangsung hari ini sekali gus membutirkan emas ketiga kontinjen negara pada temasya sukan dwitahunan itu.

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui di sini, Tze Liang berkata dengan kejayaan membawa pulang emas ke-13 itu, beliau telah menyempurnakan misinya di Sukan SEA.

“Saya rasakan misi saya telah tercapai. Saya juga rasa saya penerjun pertama yang dapat semua pingat, daripada acara platform ke papan anjal, papan anjal individu ke seirama.

“Jadi dah boleh kata legenda lah kot,” katanya sambil tertawa.

Pada aksi final hari ini, penerjun berusia 28 tahun itu menampilkan persembahan terpuji dengan mengumpul 377.70 mata dalam keseluruhan enam terjunan untuk menewaskan enam penerjun lain.

Pingat perak acara itu dimenangi atlet Singapura Avvir Tham Pac Lun yang mengutip 286.40 mata sementara seorang lagi wakil negara Betrand Rhodict Anak Lises berjaya membawa pulang pingat sulungnya di pentas Sukan SEA selepas meraih gangsa apabila mengutip 284.90 mata.

Sementara itu, Tze Liang mengakui berpuas hati hati dengan persembahan yang dipamerkan walaupun berdepan cabaran dalam persiapannya ke Hanoi ekoran pandemik COVID-19.

“Kami sudah lama tidak menyertai pertandingan dan ia menjadi antara cabaran terbesar tetapi saya gembira dengan prestasi saya hari ini. Selama saya menyertai Sukan SEA, ini adalah pingat emas 1m pertama saya dan pingat emas ke-13 (keseluruhan),” katanya.

Pingat emas diraih Tze Liang hari ini adalah emas kedua peribadinya selepas turut menjuarai acara 3m papan anjal seirama lelaki bersama gandingan Chew Yi Wei, semalam.

— BERNAMA


Pengarang :