Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar bercakap kepada media sempena majlis perasmian Karnival Bazar Ramadan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di Dewan Serbaguna MBSJ Puchong Indah, Puchong pada 8 Mac 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Lebih 1,000 kes denggi setakat 14 Mei, MBSJ pantau kawasan berisiko

SUBANG JAYA, 25 MEI: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengesan 1,143 kes demam denggi di sekitar bandar raya itu sehingga minggu epid ke-19 pada 14 Mei lalu.

Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar berkata berlaku 50 peratus peningkatan pada tahun ini berbanding 735 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

“MBSJ akan membuat pemantauan secara berkala di lokaliti titik panas denggi dari semasa ke semasa terutama di kawasan berpotensi tempat pembiakan jentik-jentik sama ada di perumahan, tempat binaan dan kilang.

“Sebanyak enam lokaliti titik panas denggi sudah dikenal pasti tetapi tiada lokaliti melebihi 100 hari dikesan setakat ini. Hasil pemantauan juga mendapati tempat kerap dijumpai pembiakan aedes adalah di lorong belakang kebun komuniti dan lokasi sampah haram yang dibuang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Mesyuarat Penuh MBSJ Bil 5/2022 di Ibu Pejabat MBSJ di sini hari ini.

Justeru, Johary turut menasihatkan masyarakat meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit untuk membersihkan kawasan persekitaran kediaman atau premis dari tempat pembiakan aedes.


Pengarang :