Pelakon Raja Azura (kanan), Bell Ngasri (tengah) serta Azlee Senario (kanan) melakukan rakaman sketsa Senandung Aidilfitri anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Jubli Perak, SUK, Shah Alam pada 31 Mac 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Lebih 50,000 tonton Senandung Aidilfitri, tahniah kepada pemenang

SHAH ALAM, 11 MEI: Jumlah tontonan program Senandung Aidilfitri menerusi saluran YouTube SelangorTV mencecah 51,236 setakat semalam sejak mula disiarkan pada 2 Syawal, maklum EXCO kebudayaan.

Manakala jumlah keseluruhan tontonan di semua platform termasuk media sosial pula sebanyak 81,000 dan dijangka terus meningkat selepas tamat cuti perayaan Aidilfitri, kata Borhan Aman Shah.

“Kita yakin jumlah ini akan naik lagi kerana ketika raya ramai pulang ke kampung beraya bersama keluarga dan tidak berkesempatan untuk menonton apatah lagi membuka YouTube.

“Selepas ini kita pasti lebih ramai akan menonton rancangan Senandung Aidilfitri semasa waktu terluang,” katanya kepada Selangorkini.

Mengulas mengenai pemenang kuiz program tersebut, Borhan mengucapkan tahniah kepada mereka yang bertuah dan meminta individu terbabit segera menghantar butiran bagi memudahkan penyaluran hadiah.

“Tahniah kepada 40 pemenang dan saya minta anda segera hantar maklumat diri untuk menerima duit raya manakala yang tidak berjaya jangan putus asa, cuba lagi tahun depan,” katanya.

Setiap pemenang dikehendaki menghantar butiran nama penuh, nama akaun Facebook, kategori dimenangi, nombor kad pengenalan, nombor telefon, nombor akaun dan bank ke emel [email protected] sebelum 15 Mei ini.

Disiar di portal selangortv.my dan Facebook Media Selangor, Senandung Aidilfitri tahun ini menampilkan nyanyian artis terkenal antaranya Ziana Zain, Sissy Imann, Elyana Emrizal dan Roy Alwi.

Raja Azura, Bell Ngasri dan Azlee Senario pula antara selebriti enjayakan lima sketsa, dua daripadanya bertema kejadian banjir besar menimpa negeri ini hujung tahun lalu.

Rancangan itu pertama kali ditayangkan tahun lalu di platform sama ketika larangan balik kampung berikutan Perintah Kawalan Pergerakan.


Pengarang :