Keadaan trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak. Foto Facebook LLM
AGENDANASIONAL

Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak sesak 33 kilometer

SHAH ALAM, 1 MEI: Keadaan trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dilaporkan sesak sejauh 33 kilometer dari arah Greenwood dan Taman Melati menuju ke Plaza Tol Gombak hingga ke Bukit Tinggi.

Menurut Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di Facebook, trafik juga perlahan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menuju ke arah utara.

Antaranya sebelum masuk ke Plaza Tol Rawang (arah selatan), Sungai Buloh – Sungai Buaya, Bukit Tagar – Tanjung Malim, Behrang – Sungkai, susur keluar Plaza Tol Slim River, Hentian Ladang Bikam – Hentian Gua Tempurung, Ipoh (Selatan) – Ipoh (Utara) dan Terowong Menora – Sungai Perak.

Selain itu, trafik juga mulai perlahan di Nilai (Utara) menuju Hentian Rehat dan Rawat Seremban serta sepanjang 2.6 kilometer dari Senai (Utara) ke Kulai.

Pada 25 April lalu, Kerajaan mengumumkan pembayaran tol percuma di Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) pada 30 April serta 1, 7 dan 8 Mei sempena Hari Raya Aidilfitri.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan juga setuju memberi diskaun tol 30 dan 50 peratus di lebuh raya selain Plus dan LPT pada tarikh sama untuk semua jenis kenderaan.

Maklumat trafik terkini boleh diperoleh menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/LLMinfotrafik


Pengarang :