Mahkamah Telok Datok, Kuala Langat. Foto Facebook MPKL
AGENDAJENAYAHPBTSELANGOR

Lelaki dihadap ke mahkamah, gagal bayar 60 kompaun parkir sejak 2008

SHAH ALAM, 27 MEI: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Telok Datok, Kuala Langat semalam, kerana gagal membayar kompaun parkir.

Yang dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) berkata lelaki berusia lingkungan 40-an itu mengaku bersalah atas kesalahan meletakkan kenderaan di tempat letak kereta tanpa bayaran.

Menurut Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim, Majistret Khairul Farhi Yusob mengenakan hukuman denda RM150 atau tiga hari penjara terhadap tertuduh.

“Lelaki tersebut mempunyai 60 kompaun masih belum dijelaskan sejak 2008 yang mengakibatkan beliau didakwa ke mahkamah,” katanya dalam kenyataan.

Pendakwaan kesalahan mengikut Perintah Pengangkutan Jalan Perenggan 8, MDKL 2007 dilakukan Ketua Pegawai Pendakwa MPKL Hasrizal Abd Rahim dan Pegawai Pendakwa MPKL Ahmad Razali Abdul Manaf.

Sementara itu, Amirul Azizan berkata pihaknya menawarkan diskaun bayaran kompaun parkir sempena ulang tahun pertama pengisytiharan MPKL yang akan tamat pada 9 September ini.

Menurutnya tawaran diskaun kompaun sebelum 2019 adalah sebanyak RM15, manakala 2020 hingga 22 (RM10).

“Individu atau syarikat yang telah dikenakan kompaun haruslah menjelaskan kompaun tersebut secepat mungkin,” katanya lagi.

 


Pengarang :