AGENDANASIONAL

Lelaki maut ditembak lepas sejam daftar masuk bilik hotel

KUALA LUMPUR, 4 MEI: Seorang lelaki tempatan ditemukan maut dengan kesan tembakan di dahi dalam kejadian di sebuah bilik hotel di Bukit Bintang petang semalam, sejam selepas mendaftar masuk.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Habibi Majinji berkata perkara itu disedari seorang pekerja hotel yang memasuki bilik tersebut dan kemudian menghubungi polis pada 7 malam.

“Mangsa seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun berasal dari Johor mendaftar masuk ke hotel berkenaan pada 6 petang tadi. Polis telah menahan rakan sebilik mangsa bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Habibi berkata motif kejadian masih dalam siasatan dan senjata api yang digunakan belum dijumpai.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

-BERNAMA


Pengarang :