Pemain Selangor FC 2 Muhammad Zahril Azri Zabri (dua, kanan) ketika cuba menghalang pergerakan pemain Kelantan FC Natanael Siringo Ringo (dua, kiri) dalam perlawanan Liga Perdana 2022 di Stadium UiTM Shah Alam pada 22 Mei 2022. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Liga Premier: Selangor 2 tewas tipis, gagal sekat Kelantan

SHAH ALAM, 23 MEI: Pendahulu Liga Premier, Kelantan FC mencatat kemenangan ketujuh musim ini apabila mengalahkan Selangor FC II 1-0 di Stadium UiTM Shah Alam, di sini malam tadi.

Detik kemenangan anak didik Rezal Zambery Yahya itu hadir pada minit ke-61, setelah kedua-dua pasukan gagal menghasilkan sebarang gol pada separuh masa pertama, walaupun beberapa cubaan menarik berjaya dicetuskan Selangor 2 dan Kelantan.

Gol tunggal perlawanan yang dihasilkan Kelantan melalui jaringan jarak jauh disudahkan Syed Sobri Syed Mohd, susulan bola muntah hasil sepakan percuma yang diambil kapten pasukan Nurshamil Abd Ghani.

Kelantan yang mula bangkit susulan kejayaan meledakkan gawang Selangor 2 itu, mula mengasak pintu gol pasukan tuan rumah sekitar minit ke-70, dengan tiga sepakan penjuru telah diberikan kepada pasukan dari negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Namun ketangkasan penjaga gawang Selangor 2 Syahmi Adib Haikal Mohd Shukri, berjaya menafikan peluang Kelantan untuk menambah gol.

Kekalutan mencari gol penyudah oleh Kelantan pada masa tambahan menyaksikan, salah seorang pemain pasukan itu Mohamad Ikhwan Yazek dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan Mohd Azizan Saat Ariffin, kerana mengasari salah seorang pemain Selangor 2.

Perlawanan itu berkesudahan 1-0, dengan menyaksikan Kelantan berjaya mengutip tiga mata berharga di bumi Shah Alam.

– BERNAMA


Pengarang :