Seorang mangsa kemalangan di Muzdalifah, Arab Saudi masih menjalani rawatan di Makkah.
AGENDANASIONAL

Lori rempuh sembilan kenderaan di Lebuhraya Elite, tiga cedera

KUALA LUMPUR, 13 MEI: Masalah brek dialami sebuah lori bermuatan getah beku menjadi punca kenderaan itu terbabas sebelum merempuh sembilan kenderaan lain dalam kemalangan di KM 9.2 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) dekat Subang di sini, malam tadi.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor DSP Ahmad Izuddin Mohd Juhari berkata kemalangan kira-kira 11.44 malam itu menyebabkan tiga individu cedera.

Beliau berkata mereka yang cedera terdiri daripada dua warga Bangladesh iaitu seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan berumur lima tahun serta seorang kanak-kanak lelaki tempatan berusia 10 tahun.

Menurutnya hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila lori dari arah Slim River, Perak menghala Tampin, Negeri Sembilan itu terbabas dan merempuh sembilan kenderaan yang berhenti di lorong tengah serta paling kanan kerana terdapat kerja-kerja pembinaan jalan.

“Dua kanak-kanak yang tersepit cedera di kepala dan peha serta diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya lalu dibawa ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Izuddin berkata pemandu lori berusia 54 tahun itu memberikan kerjasama yang baik bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang dengan kekuatan enam pegawai serta anggota digegaskan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata kenderaan yang terjejas teruk akibat kemalangan itu adalah Perodua Axia dinaiki empat sekeluarga dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina dinaiki tujuh warga Bangladesh.

– BERNAMA


Pengarang :