BUDAYARENCANA

Makan malam bersama Zeus

Oleh Zul Azlin

Renta meringkus tubuh. Permusafiran langka ini begitu perlahan. Usia purbanya tidak dapat menyaingi ketangkasan Herakel. Lebih-lebih lagi sudah lama dia tidak ke darat, dan hawa pergunungan pula tidak pernah cocok dengan jiwa lautnya.

“Nun, di sana! Sikit lagi.” Herakel menuding ke utara.

Poseidon berhenti sebentar membiarkan cungapnya reda. Dia sepuluh meter di belakang. Awan masih menabiri separuh susuk Olympus yang segak berdiri di kejauhan. Gunung itu tersergam megah, selayaknya sebagai inap mewah penghuni yang dipuja-puja alam sebelah sini.

“Kau rasa betulkah Bapa mahu meninggalkan Olympus?” Walaupun mereka adik beradik, malah Poseidon sebagai abang, tapi dek perbezaan martabat begitulah panggilannya.

“Kalau benar pun khabar angin itu, dia mahu ke mana? ke bumi?” Herakel bersuara jengkel tanpa memandang ke belakang. Dia menyumpah-nyumpah mengapa Hera menyuruhnya menjemput Poseidon. Bukankah ini kerja Hermes?

“Bapa selalu risau tentang penceroboh, tentang hak peribadi. Puncak itu adalah tempat paling strategik. Kebertuhanan dan pemujaan sudah berlaku ratusan tahun dengan Olympus sebagai pusat.”

“Kau sepatutnya mengumpul nafasmu untuk mendaki. Bukan untuk bercakap,” bentak Herakel.

“Uhhh!”

“Mahukah kau kupanggilkan Hermes? Biar diterbangkannya kau terus ke vila Bapa?” Herakel mengajukan tawaran separuh kasihan, separuh mengejek.

“Tak perlu. Tak jauh pun lagi,” acuh tak acuh Poseidon menjawab perlahan. Dia sudah tidak seperi dulu lagi; raja laut bertombak cabang tiga yang masyhur dengan berangnya. Dia sekarang seperti manusia politikus tua lapuk dan pengecut.

Poseidon berjeda lagi. Aturan debar yang laju ini bukan semata-mata kerana penat tetapi ada cemas yang mengatakan sesuatu tidak kena dengan jemputan Zeus kali ini.

Di gerbang Olympus, satu susuk perempuan melambai-lambai.

“Terima kasih, Herakel. Sampai juga,” Hera menyambut. Senyum mesra dilebih-lebihkan. Walaupun masih menggoda, tapi jelas dewi ini sedang dimamah ketuaan. Kedut dan selulit berdegil mahu keluar walaupun cuba disorok-sorokkan. Kalaulah manusia fana tahu yang dewa juga jadi tua, tentu mereka tidak sibuk-sibuk memburu keremajaan abadi. Di belakang Hera, muncul lembaga hitam berkaki empat. Menggesel-gesel manja di sisi Hera tetapi ketiga-tiga kepalanya itu terus menyeringai ngeri apabila memandang Herakel.

Cerberus!

“Oh, anjingnya ada di sini. Ini bermakna Hades sudah tiba.”

“Hades sentiasa pantas. Di mana Poseidon?”

“Terhegeh-hegeh di bawah sana. Apa yang sebenarnya Bapa nak bincangkan?”

“Hmm…. Hera tak pasti. Tapi awak masih ingat cerita dua abad lepas, Bapa mengamuk menghambur onar di Lautan Hindi? Ketika itu Poseidon juga dipaksa ikut serta. Kau ingat itu, Herakel?”

“Ya, saya ingat. Tsunami.”

“Bapa tidak berpuas hati dengan manusia di dunia sebelah situ yang semakin ramai menyembah tuhan-tuhan lain.”

“Sebelum itu pun, dia dan Ares mencetus kebinasaan Perang Dunia. Apa masalahnya, Hera? Sekali-sekala tuhan-tuhan seperti kita akan ada anginnya. Perlu dilampiaskan.”

“Tapi Bapa semakin teruk. Kalau dulu dia murung, sekarang fikirannya semakin yang bukan-bukan. Paranoid!”

“Biasalah. Poseidon seusia dengannya pun terlalu takut terbang bersama Hermes. Menjadi tua, sama ada kita semakin bijaksana atau semakin pelupa tidak bermaya,” Herakel memujuk.

Seperti manusia yang menua, mungkin dewa juga rentan kepada fenomena nyanyuk. Adakah Zeus yang agung itu menghidap Alzheimer? Aesclepius mungkin boleh membantu.

“Aesclepius sudah memeriksanya,” Hera seolah-olah membaca fikiran Herakel.

“Katanya, Bapa tidak ada apa-apa masalah yang ketara.”

Sejurus kemudian, Hephaestus, Artemis dan Apollo tiba. Disusuli Poseidon yang termengah-mengah. Hermes yang kacak itu bersama Ares yang kekar mendarat dari langit dengan aksi penuh gaya dan akrobatik. Hadirin bersama-sama berhalaqah sekeliling meja yang terhidang ribuan jenis nektar, ambrosia dan tulang-tulang haiwan; makanan ruji dewa-dewi. Berbasa-basi itu-ini menyambung silaturahim. Ada yang tidak berjumpa satu sama lain hampir sekurun lamanya.

“Makanya, si tua itu kerancuan apa?” tiba-tiba Apollo, tuhan puisi, bertanya Hera dengan suara yang agak kuat seolah-olah supaya semua turut mendengar. Rupa-rupanya khabar angin tentang kesihatan mental Zeus ini sudah merebak. Tapi barangkali Apollo mudah mengetahui kerana sememangnya dia juga menjaga berita masa depan di kuil keramat Delphi.

“Sebelum ini, dia merungut kerana manusia sudah tidak memerlukan tuhan semenjak adanya pengetahuan sains dan teknologi,” Ares menyampuk santai tanpa memandang sesiapa. Dia sibuk dengan nektar dan menghisap tulang-tulang.

“Jika aku tidak khilaf, Bapa pernah membangkitkan soal hubungan kita dan Azazil. Adakah itu benar, Hera?” Apollo sekali lagi meletakkan dewi itu di tengah pusat perhatian. Tiada siapa yang mengendahkan soalan sensasi Apollo ini. Azazil, bagi mereka, adalah makhluk mitos yang tempatnya dalam hiburan cerita tidur kanak-kanak.

“Hahaha, biasalah tu, dah berumur ini macam-macam krisis. Tak begitu, Poseidon?” Hermes menyinggung dewa tua di sebelahnya. Poseidon membatu. Dia tidak pedulikan sangat keletah kurang ajar si Hermes ini. Dia sedang memikirkan soalan terakhir Apollo tadi.

“Kamu semua dengar sendiri daripada Zeus nanti. Hera tidak mahu…,” belum sempat dia menghabiskan kalimahnya guruh berdentam-dentum dalam satu siri petir yang sabung-menyabung. Manusia di alam bawah pasti berderau jantung mereka. Ahli-ahli majlis ini tenang dan memaling muka masing-masing ke arah patio yang membawa ke mimbar utama. Zeus menampilkan diri. Jambangnya yang lebat berkilat mengisyaratkan bahawa anginnya baik kali ini. Di sisinya, Charon dan Hades.

“Wahai saudara-saudaraku sekalian, selamat datang!” guntur suara Zeus.

“Terima kasih kerana memenuhi jemputan tergempar ini. Silakan nikmati juadah mega ini. Tiada apa yang lebih menggembirakan aku daripada melihat kalian berkumpul begini.”

Ucapan berlanjutan lama. Rata-rata jemputan mengangguk-angguk entah apa. Antara dengar dan tidak. Di hati mereka hanya terpasang rasa hormat yang dangkal. Zeus tidak lagi membikin gentar seperti dulu.

“Kalian harus dengar ini!” tiba-tiba Zeus mengherdik dengan halilintar yang paling seru pernah dia lemparkan. Hadirin terlongo.

“Aku, Zeus anak Cronus dan Rhea, dewa yang kalian katakan paling agung ini, mengisytiharkan ini semua penipuan. Azazil menipu kita selama ini. Azazil buat kita percaya kitalah yang berkuasa. Azazil memperdayakan kita bahawa kitalah tuhan-tuhan yang berhak disembah dan ditakuti. Aku bersaksi bahawa kita sebenarnya sebahagian daripada kaum Azazil.”

Gempar. Makan malam jadi gawat. Keriuhan serta merta menelan suara Zeus. Ada yang marah meludah-ludah ke marmar vila. Ada yang mentertawakan dan mengejeknya sinting. Ada juga yang menyuruh Hades membawanya beruzlah ke perut bumi seolah-olah Zeus adalah budak kecil meragam yang perlu dibawa jauh-jauh. Hanya Poseidon yang masih duduk berteleku.

“Helah paling hebat sang syaitan adalah memberi tanggapan dia tak pernah wujud,” katanya sendirian.


Pengarang :