Majlis Amanah Rakyat masih meneliti kadar kenaikan elaun pelajar tajaannya di United Kingdom dan Ireland. Foto AFP
AGENDANASIONAL

Mara teliti kenaikan kadar elaun penuntut luar negara tajaannya

SEPANG, 26 MEI: Kadar kenaikan elaun penuntut luar negara tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) masih lagi diteliti dan diperhalusi, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata pihaknya akan bertemu golongan berkenaan bagi mendalami secara lebih dekat mengenai kos sara hidup di tempat masing-masing.

“Saya sendiri akan jumpa pelajar di United Kingdom (UK) untuk mengetahui mengenai kos sara hidup di UK. Isu kos sara hidup ini melibatkan merata tempat di seluruh dunia.

“(Hasil pertemuan) nanti, kita akan rumuskan dan beri cadangan (kenaikan elaun) kepada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Apresiasi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) 2021 kepada 87 penerima di sini hari ini.

Pada 12 Mei lepas, Mahdzir berkata penelitian semula kadar elaun pelajar luar negara tajaan MARA akan dibuat berdasarkan kos yuran serta lokasi pengajian dan kadar pembayaran utiliti.

Proses itu sedang dilaksanakan KPLB menerusi suatu kajian berkaitan kenaikan kos sara hidup pelajar tajaan MARA di luar negara khususnya di UK dan Ireland.

Badan Perhubungan Negara United Kingdom & Eire (BPN UKE) sebelum ini menggesa agar penstrukturan semula elaun sara hidup pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam serta MARA dilaksanakan segera berikutan kenaikan kos sara hidup di UK dan Ireland sehingga membebankan pelajar tajaan agensi terbabit.

Sehingga kini, terdapat 3,896 pelajar tajaan MARA sedang mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang dan peringkat di beberapa negara antaranya 1,422 orang di UK, Jordan (297), Jerman (291), India (234), Australia (226), Rusia (85) dan Sepanyol (28).

Terdahulu, Mahdzir turut melancarkan Pelan Strategik Pengurusan Sumber Manusia KPLB 2022-2025 yang menggariskan enam teras strategik dalam pembentukan sumber manusia yang relevan selaras cabaran persekitaran semasa yang semakin kompleks.Ia meliputi memantapkan kapasiti organisasi; memperkasa pengurusan pekerja berkualiti; membangun kompetensi tenaga kerja; meningkatkan pengurusan prestasi; pengiktirafan dan ganjaran serta membentuk budaya berprestasi cemerlang.

– BERNAMA


Pengarang :