Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau keadaan rumah mangsa yang musnah dalam kebakaran di Kampung Bahtera, Batu Caves baru-baru ini. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB cari rumah sewa buat mangsa kebakaran, urus pembaikan kediaman

SHAH ALAM, 10 MEI: Kisah dua keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran di Kampung Bahtera, Batu Caves pada Ahad mendapat perhatian Dato’ Menteri Besar.

Melalui kenyataan di Facebook, Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua sedang menguruskan rumah sewa buat mangsa.

Beliau menjelaskan pihaknya juga memperuntuk dana bagi membaik pulih semula kediaman mereka.

“Tiba dari Sabah terus ke Kampung Bahtera Batu Caves, ziarah dua keluarga yang ditimpa musibah awal pagi Ahad lalu, rumah mereka terbakar.

“Selain sumbangan segera dihulur, Pusat Khidmat sedang uruskan rumah sewa sementara buat keluarga dan dana pembaikan rumah kedua mangsa,” katanya hari ini.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Bomba Selangor memaklumkan kejadian jam 4.13 pagi itu menyebabkan dua rumah berkenaan musnah 80 peratus.

“Kebakaran tidak melibatkan mangsa dan nyawa, namun sebuah kereta musnah 100 peratus dan sebuah van rosak 10 peratus. Operasi pemadaman mengambil masa dua jam 45 minit,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyantuni mangsa mangsa kebakaran di Kampung Bahtera, Batu Caves baru-baru ini. Foto Facebook Amirudin Shari

 


Pengarang :