Program Ujian PCR HPV Percuma Untuk Saringan Barah Pangkal Rahim di Dewan Komuniti MBPJ Damansara Damai, Petaling Jaya pada 13 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

MB: Dana RM3.4 juta disedia bagi biayai saringan kesihatan percuma

SHAH ALAM, 14 MEI: Kerajaan Negeri memperuntukkan dana RM3.4 juta bagi melaksanakan Program Selangor Saring, iaitu saringan kesihatan percuma kepada rakyat negeri ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program ini dijangka memberi manfaat kepada 39,000 rakyat Selangor terutama golongan berisiko seperti mempunyai sejarah keluarga, berat badan berlebihan dan mengamalkan gaya hidup tidak sihat.

“Antara fokus saringan adalah penyakit jantung, kencing manis, kanser, glaukoma dan lain-lain.

“Pendaftaran juga mudah dan boleh dibuat menerusi aplikasi SELangkah,” katanya di Twitter.

Semalam, EXCO kesihatan awam memaklumkan pemohon perlu melengkapkan borang saringan awal ketika pendaftaran bagi mengenal pasti latar belakang dan faktor risiko mereka sebelum diberikan baucar bagi perkhidmatan berkenaan.

Belanjawan Selangor 2022 memperuntuk RM3.4 juta bagi membantu penduduk negeri ini menjalani rawatan penyakit dari awal sekali gus meningkatkan peluang untuk sembuh.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui pautan selangorsaring.selangkah.my, hubungi talian Selcare 1-800-22-6600 atau Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor melalui https://drsitimariah.com/talian-suka/.


Pengarang :