Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau kawasan terkesan banjir di Kampung Sungai Lui, Hulu Langat pada 29 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Kerja baik pulih rumah, infrastruktur rosak akibat banjir giat dilaksana

SHAH ALAM, 12 MEI: Kerajaan Negeri sedang menumpukan usaha membina dan membaik pulih rumah mangsa serta infrastruktur yang rosak akibat bencana banjir pada Disember lalu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kerja tersebut mengambil sedikit masa untuk disiapkan dengan sebahagian daripadanya sudahpun dimulakan.

“Sekarang fokus kita untuk melihat bantuan lain seperti perumahan. Ia mengambil masa kerana ada yang diselaras Lembaga Zakat Selangor (LZS) selain dibantu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta lain-lain.

“Kita juga mahu pastikan segala kerosakan infrastruktur dapat diperbaiki antaranya di Genting Paradise sempadan Hulu Langat dan Negeri Sembilan kerana kawasan itu banyak tanah runtuh.

“Di tempat-tempat lain seperti jalan dan sungai paling tidak 40 hingga 50 peratus sudah berjalan (baik pulih),” katanya ditemui selepas majlis pelancaran Selangor Mega Job Fair dan portal selangorjobportal.com.my di Dewan Pro Canselor Universiti Selangor (Unisel) Shah Alam di sini, hari ini.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

 

 


Pengarang :