Selangorkini
Orang ramai hadir melihat peluang kerjaya semasa Jelajah Selangor Bekerja 2021 di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 23 Oktober 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Lebih 160,000 peluang kerja ditawar kepada anak Selangor

SHAH ALAM, 23 MEI: Sebanyak 163,645 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor berjaya ditawarkan kepada anak Selangor pada suku pertama tahun ini.

Dato’ Menteri Besar memaklumkan kadar pengangguran juga menurun kepada 2.9 peratus akhir tahun lalu berbanding 3.6 peratus pada suku sebelumnya.

“Alhamdulillah, kadar pengangguran di Selangor semakin menurun selari dengan usaha Kerajaan Negeri mencipta peluang pekerjaan demi anak Selangor,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook hari ini.

Tambah beliau, kejayaan mencipta peluang pekerjaan dalam sektor pembuatan, pertanian dan pembinaan terhasil daripada ikhtiar memakmurkan negeri serta mensejahterakan rakyat.

“Selain peluang pekerjaan, usaha ini turut akan meningkatkan kualiti hidup rakyat dan memberi kesan positif kepada ekonomi,” katanya.

Komitmen Kerajaan Negeri menurunkan kadar pengangguran diteruskan dengan penganjuran Karnival Kerjaya Mega yang dijadual berlangsung pada 11 dan 12 Jun ini.

Program secara fizikal di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melibatkan penyertaan lebih 100 syarikat yang menawarkan 20,000 peluang kerja dalam sektor perkhidmatan, pembuatan, elektronik dan pengurusan.

Antara syarikat terlibat ialah Kumpulan Perangsang Selangor, Daikin Malaysia Sdn Bhd, DHL Express, DRB Hicom Berhad, Giant Malaysia dan Malayan Banking Berhad.

Syarikat lain meliputi Media Prima Digital, Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton), Prasarana Malaysia Berhad, Shopee Malaysia, Sport Direct MST Sdn Bhd dan Toyota Auto Body Malaysia Sdn Bhd.

Individu berminat boleh membuat pradaftar melalui http://selangorjobportal.com.my.


Pengarang :