Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama pengunjung Rumah Terbuka Aidilfitri Selangor di Terminal Bas Bandar Melawati, Kuala Selangor pada 20 Mei 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Muafakat faktor negeri tahan uji, aman meski dilanda bencana dan wabak

KUALA SELANGOR, 20 MEI: Kerajaan Selangor berjaya menempuh segala kekangan sejak pandemik Covid-19 melanda hasil muafakat bersama.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata meski diuji pelbagai perkara, negeri ini kekal aman disebalik ketidakstabilan politik sepanjang tempoh berkenaan.

“Sejak 2020, negara berdepan beberapa episod krisis seperti Covid-19 dan bencana kemudian diikuti ketidakstabilan politik di peringkat nasional dan beberapa negeri.

“Di saat negeri lain bertukar MB (Menteri Besar) sehingga terpaksa anjur pilihan raya negeri di tengah-tengah penggal, namun berkat kekuatan muafakat kita tahan uji dan tempuhi segala kekangan dengan baik,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Selangor di Terminal Bas Bandar Melawati di sini, hari ini, yang dihadiri lebih 5,000 pengunjung.

Dalam pada itu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri tekad meneruskan mandat 2018 dengan amanah dan sabar kerana percaya suara rakyat tidak harus dipermainkan.

“Kita percaya suara rakyat tidak harus dipermainkan dengan permainan politik sebaliknya dipertahankan dengan bersungguh-sungguh.

“Ia juga selari dengan apa yang ditekankan dalam Belanjawan Selangor 2022 untuk membina sebuah negeri tahan uji dan mengangkat insani,” katanya.


Pengarang :