Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Dato Mahmud Abbas (kiri) bercakap kepada media selepas menghadiri rumah terbuka Aidilfitri anjuran PKNS di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 19 Mei 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Pemulihan ekonomi, PKNS sasar untung lebih RM300 juta

SHAH ALAM, 19 MEI: Kerajaan Negeri menyasarkan keuntungan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melebihi RM300 juta pada tahun ini.

Dato’ Menteri Besar berkata jangkaan itu dibuat selepas penyusunan semula pelaburan dan elemen korporat yang dilaksanakan anak syarikat negeri itu, selain perkembangan positif sektor pembinaan.

“Pada 2020, PKNS mencatat kerugian RM500 juta namun tahun lepas kita catat untung melebihi RM40 juta. Ini bermakna kekuatan perniagaan PKNS masih ada.

“Keuntungan ini menunjukkan pelan jangka pendek dan panjang berjalan baik. Pertumbuhan ekonomi pada tahun ini lebih baik dengan aliran kewangan lebih mantap.

“Pandemik Covid-19 menyebabkan sebahagian kedudukan akaun mencatat nilai negatif pada 2020 akibat rosot nilai. Namun PKNS berjaya mencatat keuntungan, ini menunjukkan kekuatan perniagaan PKNS masih ada,” katanya.

Dato’ Seri Amirudin Shari ditemui pada Majlis Jalinan Aidilfitri anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) hari ini.

Amirudin berkata PKNS yang berusia 50 tahun perlu bangkit semula dengan menyusun serta memfokuskan kepada perubahan semasa.

“PKNS perlu berdiri dan ada keyakinan untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pesaing-pesaing yang sebaya dengan mereka.

“Ini cabaran yang perlu dilakukan dan mengeluarkan diri daripada zon selesa dalam memastikan prestasi PKNS bukan hanya terkenal pada sektor perumahan dan pembinaan sahaja sebaliknya meneroka peluang lain,” katanya.


Pengarang :