Dato’ Menteri Besar Dato’ Amirudin Shari (tengah) menyerahkan sumbangan kepada Nur Fakhirah Zulfikar Ali pelajar jurusan Diploma Kesihatan Haiwan dan Penternakan Kampus Universiti Putra Malaysia (UPM) Bintulu di pejabatnya pada 17 Mei 2022. Foto Laman sesawang Alumni UPM
AGENDANASIONALSELANGOR

MB serah bantuan pengajian kepada empat pelajar UPM

SHAH ALAM, 19 MEI: Dato’ Menteri Besar menyerahkan sumbangan RM15,000 kepada pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Nur Fakhirah Zulfikar Al,  dalam satu majlis di pejabatnya pada Selasa lalu.

Sumbangan itu bagi membiayai pengajian pelajar jurusan Diploma Kesihatan Haiwan dan Penternakan di Kampus UPM Bintulu.

Dato’ Seri Amirudin Shari yang juga Alumni UPM turut menyampaikan sumbangan kepada tiga pelajar lain dari kampus sama berjumlah RM1,000 yang diberikan secara sekali bayar (one-off).

Pelajar terbabit adalah Muhammad Khairin Danish Mohd Khairani pelajar dari jurusan Diploma Pengurusan Perladangan dan Makanan; Nur Aziera Asri, Diploma Pengurusan dan Perladangan serta Nur Zahirah Mohd Najmudin, Diploma Pengurusan Tani.

Ketika berucap, Amirudin berkata bantuan itu adalah antara tanggungjawabnya selaku alumni UPM bagi membantu pelajar di universiti itu untuk mencapai kejayaan.

“Ia selari dengan kecemerlangan yang ditunjukkan UPM pada hari ini yang dari semasa ke semasa sedang mendaki kejayaan apabila disenaraikan sebagai universiti terbaik bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di luar negara.

“Saya juga mengharapkan sumbangan dan tajaan biasiswa ini dapat meringankan beban keluarga dan seterusnya dapat membantu pelajar terutama mereka daripada keluarga B40 meneruskan pengajian hingga berjaya,” katanya.

Terdahulu, menerusi QS World University Rangkings 2022, UPM berada pada kedudukan ke 143 terbaik dunia dan kedua terbaik di Malaysia.


Pengarang :