Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat keluarga mangsa nahas kemalangan Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar di Kuala Kubu Bharu pada 15 Mei 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB ziarah keluarga pelajar rentung dirempuh treler di Perak

HULU SELANGOR, 15 MEI: Dato’ Menteri Besar hari ini melawat keluarga pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (Usas) yang rentung dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan arah utara di Kuala Kangsar, Rabu lalu.

Dato’ Seri Amirudin Shari meluang masa setengah jam bertemu Aidol Munir Akbar Abd Aziz dan Maizatulakmam Md Taha, ibu bapa kepada arwah Muhammad Nasrun di Kuala Kubu Bharu selain memberi sumbangan wang tunai.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri kita ziarah dan bersimpati atas kehilangan anak yang menjadi aset kepada keluarga. Kita turut bersedih dengan kehilangan ini.

“Semoga roh arwah dan rakan-rakan yang meninggal mendapat rahmat dari Allah, dilindungi dan diberi kemudahan hingga ke syurga. Insya-Allah,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Dalam kejadian 11 Mei lalu, selain Muhammad Nasrun, empat lagi pelajar Usas yang maut dalam nahas terbabit iaitu Iqbal Hasnun Halimi, 23; Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20.

Kemalangan tiga kenderaan itu mengakibatkan lima mangsa rentung di KM 245.2, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, dipercayai berlaku di kawasan penyelenggaraan jalan.


Pengarang :