Sukarelawan Selangor (SERVE) membantu membersihkan kediaman salah seorang mangsa banjir di Hulu Selangor pada 17 Mei 2022. Foto Facebook Pusat Khidmat Rakyat Penyelaras Dun Batang Kali
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MBI agih makanan kering bantu mangsa bah di Hulu Selangor

SHAH ALAM, 17 MEI: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI membelanjakan RM5,000 bagi mengagihkan makanan kering kepada mangsa banjir di Hulu Selangor semalam.

Sumbangan meliputi 1,200 cawan mi segera, biskut (1,200 unit), air minuman (200 karton), teh (100 bungkus) dan roti (300 buku), maklum ketua tanggungjawab sosial korporatnya.

Menurut Ahmad Azri Zainal Nor, barangan tersebut disalurkan melalui pejabat penyelaras pusat khidmat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali malam tadi sebaik dimaklumkan kejadian itu.

“Kita tidak dapat agihkan sendiri bantuan kepada mangsa memandangkan laluan masuk ke sana dilimpahi air, namun saya percaya agihan sudah dibuat kepada mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) termasuk yang tidak berpindah,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, pegawai penyelaras DUN Batang Kali memaklumkan bantuan tersebut diagih secara berperingkat sejak pagi tadi oleh Sukarelawan Selangor dan Penggerak Belia Selangor.

Saifuddin Shafi Muhammad berkata PKM Batang Kali turut dijadikan pusat penyelaras pengurusan bencana sementara bagi melancarkan misi bantuan banjir.

“Sukarelawan mengadakan taklimat di situ sebelum bergerak ke rumah-rumah mangsa untuk agih bantuan termasuk pembersihan. Difahamkan setakat ini tujuh rumah sudah dibersihkan,” katanya.

Hujan lebat lebih tiga jam di beberapa daerah di negeri ini bermula jam 12 tengah hari semalam menyebabkan banjir kilat di Hulu Selangor.

Antara kawasan terkesan ialah Kerling, Kampung Kelapa, depan persimpangan Maktab Polis Diraja Malaysia di Kuala Kubu Bharu serta perumahan Taman Serendah Makmur.


Pengarang :