Peniaga Takoyaki Khalid Idris, 56, menyiapkan tempahan pelanggan di Pusat Penjaja Dataran Puchong Prima, Puchong pada 17 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBSJ: Pemberian lesen sementara diteruskan hingga akhir tahun, bantu penjaja bangkit

SUBANG JAYA, 14 MEI: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) akan meneruskan pemberian lesen perniagaan sementara kepada penjaja sehingga akhir tahun ini.

Datuk Bandar Dato’ Johary Anuar berkata usaha itu dapat membantu golongan berkenaan menjana semula pendapatan dalam fasa peralihan endemik.

“Tumpuan kita adalah untuk memastikan pertumbuhan ekonomi (penjaja) di kawasan pentadbiran MBSJ dapat digerakkan dengan baik.

“Kita akan sediakan kemudahan dari segi pengeluaran lesen bagi menyokong perkembangan penjaja tempatan. Mereka boleh datang kepada kita supaya kita dapat tentukan kawasan mana mereka dibenarkan berniaga,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas sambutan Aidilfitri di ibu pejabat MBSJ semalam, Johary yakin ekonomi peniaga tempatan di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu akan bertambah baik.

“Sekarang kita sudah berada dalam fasa dipanggil transisi kepada endemik. Di pihak majlis, kita membantu dari segi mengembangkan ekonomi peniaga tempatan.

“Kita sedia maklum dalam tempoh dua tahun lepas banyak perniagaan tergendala. Namun selepas ini kita jangka pertumbuhan ekonomi di kawasan Subang Jaya meningkat dan maju,” katanya.

Pada 21 Februari EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han memaklumkan Kerajaan Negeri mengeluarkan lebih 10,000 lesen sementara kepada penjaja tanpa lesen dan golongan terkesan Covid-19.

Pada 17 Disember tahun lalu, tempoh pemberian lesen sementara kepada peniaga kecil dilanjutkan enam bulan lagi sehingga Jun ini.

Inisiatif itu sepatutnya tamat akhir tahun lalu namun diteruskan untuk membantu individu ingin berniaga kerana terkesan wabak.

Pemberian lesen tersebut kepada peniaga tidak berlesen dan golongan terjejas bermula sejak Ogos tahun lalu dengan PBT perlu memastikan tapak niaga bersesuaian, menjamin keselamatan serta tidak mendatangkan kacau ganggu.

 


Pengarang :