BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Melaram dengan baju raya di 10 lokasi ‘OOTD’ di Selangor

SHAH ALAM, 4 MEI: Selangor banyak menawarkan lokasi menarik untuk anda yang ingin melaram atau menunjukkan “Outfit of The Day” (OOTD) bagi menyemarakkan lagi suasana Aidilfitri.

Lokasi tersebut dilengkapi pelbagai elemen antaranya kehijauan, pantai dan landskap bandar untuk anda memulakan sesi fotografi dengan memperagakan busana hari raya.

Tourism Selangor menyenaraikan 10 lokasi yang mungkin sesuai dengan tema baju raya anda tahun ini.

Laman Seni 7

Laman Seni 7 menampilkan karya seni jalanan yang menarik yang bukan sahaja sesuai untuk merakamkan foto tetapi juga mengagumi kemahiran pelukis jalanan. Berhampiran i-City Shah Alam, lokasi ini menyediakan empat mural berasingan, termasuk lukisan 3D, pemasangan 3D, perabot jalanan dan lukisan sisi. Tapak Seni 7 dibuka setiap hari tanpa dikenakan sebarang bayaran.

Alamat: Jalan Plumbum Q 7/Q, Seksyen 7, 40000 Shah Alam

Elmina Valley Park

Elmina Valley Park, destinasi “Instagramable” popular di Shah Alam, terletak di perbandaran baharu, Elmina City. Penduduk tempatan menyukai taman yang cantik ini, yang mempunyai beberapa tarikan sesuai untuk mengambil gamabr seperti laluan pelangi berwarna-warni dan jambatan ikonik Elmina. Taman ini menawarkan pelbagai aktiviti, termasuk berjoging dan berbasikal, sesuai untuk lawatan anda seisi keluarga.

Alamat: Elmina Valley 3, 176, Jln Metafasa U16/3, Shah Alam

Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah

Antara masjid yang tersergam indah di Selangor. Dikenali juga dengan “Masjid Biru, seni binanya yang megah mengangkat tema Melayu moden. Sudah tentu masjid ini agak besar, kerana ia boleh
memuatkan sehingga 24,000 jemaah pada satu-satu masa. Bukan hanya luaran, hiasan dalaman dan seni binanya juga menarik dan seni kaligrafi pada dinding kubah dan gerbang di sini juga sangat menakjubkan. Setiap sudut bangunan mempunyai tujuan tertentu untuk keselesaan jemaah dan pengunjung.

Alamat: Persiaran Masjid, Seksyen 5, 40 000 Shah Alam

Padihijau Homestay

Padihijau Homestay merupakan rumah penginapan kampung tradisional yang terletak di Sungai Besar, Selangor. Rumah inap yang berwarna cerah ini dikelilingi oleh sawah padi. Kawasan ini mempunyai konsep yang indah, dan persekitarannya adalah santai dan mendamaikan, jauh dari kesibukan kota. Sesiapa yang menggemari aktiviti OOTD boleh menginap di sini sambil menikmati keindahan sebuah komuniti. Rakamkan imej penuh bergaya dengan baju raya anda. Satu tips, busana ala kampung pasti
memberikan estetika yang anggun dan sesuai dengan suasana kawasan sawah padi.

Alamat: Parit 7 Timur, 45300 Sungai Besar

Lover’s Bridge, Tanjung Sepat

Perjalanan ke Tanjung Sepat, walaupun berada di luar laluan biasa, umpama membawa anda kembali ke masa-masa lalu yang menyenangkan. Lover’s Bridge boleh dikatakan sebagai ikon yang paling dikenali di kampung nelayan yang berkembang maju ini. Jambatan ini pernah menjadi tempat pertemuan di waktu malam yang romantik untuk pasangan, maka, namanya diperolehi daripada itu. Ia kini menjadi destinasi pelancongan yang popular bagi mereka yang mencari kawasan bagi menyaksikan fenomena matahari terbenam yang indah dan berehat seketika dari kesibukan bandar.

Alamat: 21, Jalan Senangin 1, Taman Tanjung, Tanjong Sepat

Tamarind Square

Tamarind Square, Cyberjaya pula mengangkat tema kedamaian dalam bandar. Pencinta alam semula jadi akan menikmati aktiviti OOTD di sini kerana keindahan flora dengan sktruktur bangunan yang cantik dan berciri tersendiri. Ia adalah luar biasa untuk menemui lokasi dengan struktur bangunan yang unik dan moden, namun masih dikelilingi oleh tumbuh-tumbuhan yang tumbuh subur. Anda juga boleh menjamu selera dalam suasana yang tenang di salah sebuah kafe selepas ber-OOTD di sini

Alamat: Tamarind Bldg Rd, Cyberjaya, 63000 Cyberjaya

Spacerubix

Jangan lepaskan peluang untuk ber-OOTD di Spacerubix. Hanya ada di Puchong, anda boleh mengambil foto dengan latar belakang bangunan berkonsep rubix yang terang. Rakam imej anda dengan cara yang unik di sini, ia boleh jadi tempat yang cantik untuk OOTD Raya yang anda boleh kongsikan di Instagram anda.

Alamat: Jalan TPP 1/7, Taman Perindustrian Puchong

Kampung Pelangi

Kampung Pelangi yang terletak di Daerah Kuala Selangor ini mempunyai persekitaran yang menenangkan seperti namanya. Hampir keseluruhan kawasan, termasuk rumah dan jalan, dicat dengan warna terang. Datanglah ke sini untuk bergambar jika anda mahukan sesuatu yang unik. Bukan itu sahaja, anda juga boleh menginap di chalet yang terdapat di sini, yang setiap satunya dibina dengan reka bentuk tersendiri. Tarikan lain yang terdapat di sini termasuk zoo kecil yang menempatkan pelbagai spesis haiwan yang luar biasa, serta aktiviti memancing dan memanah.

Alamat: Kuala Selangor Rainbow Village Lot 4021, Jalan Rizab Zazuli, Kg. Bukit Hijau, Jeram

Bonda Valley

Tidak perlu melancong jauh hingga ke Bali, pemandangan seperti ini boleh didapati di Selangor. Selepas seharian menyambut hari raya, anda boleh berehat dari segi emosi dan fizikal dengan menginap di sini. Lokasinya menakjubkan, besar, dan bersih. Bonda Valley juga merupakan sebuah lokasi yang sesuai untuk ber-OOTD. Selain keindahan semula jadi di kawasan ini, arca dan seni binanya juga menawan. Ambillah seberapa banyak gambar yang anda mahukan di sini.

Alamat: Lot 2380, Jalan Lama, 44300 Hulu Selangor

Istana Bandar Jugra

Anda boleh melawat ke Pekan Jugra yang terletak di Daerah Kuala Langat dan ber-OOTD di Istana Bandar. Semasa merakam foto di sini, anda juga boleh mempelajari tentang kisah silam Pekan Jugra yang menarik. Malah, tiada bayaran masuk ke tempat ini. Tapak-tapak bersejarah lain di kawasan ini termasuk Masjid Alaeddin, Musium Insitu Jugra dan lain-lain lagi.

Alamat: Jalan Istana Lama, 42700 Jugra, Banting

 

Layari laman web www.selangor.travel atau ikuti Instagram, Facebook, Twitter, TikTok dan YouTube Tourism Selangor untuk informasi lanjut mengenai sektor pelancongan negeri.


Pengarang :