BUDAYARENCANA

Memori Mandopop

Oleh: Afiifah Shariha

Seorang gadis berambut kontot berlari menuruni tangga. Wajahnya pucat lesi. Badannya menggeletar. Kedengaran suara kasar mencarut dari rumah kedai nombor 04-B. Orang lalu-lalang tidak peduli dengan keadaan gadis itu.

Hanya satu tempat saja yang sudi meminjamkan perlindungan kepadanya. Dia menolak pintu kedai yang tertera Kedai Gunting Rambut Molly. Loceng bergemerencing menyambutnya.

Aron yang sedang duduk di belakang meja menyedari kehadiran gadis berambut kontot itu. Dia melaung,

“Kak Molly, Jasmin ada di sini!”

Seorang wanita bergelar Molly keluar terkocoh-kocoh dari stor belakang.

Ini bukan kali pertama gadis bernama Jasmin itu berada di sini. Sewaktu pertama kali datang, Jasmin hadir bersama Mamanya. Ketika itu, rambut Jasmin masih panjang. Jasmin duduk di atas kerusi boleh laras dengan rambut hitam berumbai. Molly, si tukang gunting rambut ramah bertanya dari mana mereka datang.

Kata Mama Jasmin, “Kami baru berpindah ke sini…”

***

“Kau pasti, Jasmin?”

“Potong saja,” Jasmin berkeras.

“Kalau potong lagi nampak macam lelaki. Aku buat rambut layer macam gambar tu lah ya?” Molly mengacu ke arah gambar model yang tertampal di dinding.

“Tak mau. Potong kasi rapat.” Molly mengomel tidak setuju, tetapi tangannya tetap menggunting rambut seperti diminta.

“Aku dengar polis datang lagi semalam?” Soalan itu berlegar tanpa jawapan. Bunyi mesin rambut yang lalu di tepi telinga; lagu Qi Li Xiang yang berputar dari cakera padat.

“Ada orang lapor. Polis datang tengok, lepas tu balik semula.” Jasmin menjawab tidak acuh. Dia lebih mahu menyanyi:

“Yu xia zheng ye. Hujan turun sepanjang malam.”

“Wo de ai yi chu jiu xiang yu shui. Cintaku melimpah seperti air hujan.”

Jasmin mencuri pandang Aron. Lelaki itu sedang mewarnakan rambut pelanggan lain.

“Aku tak faham kenapa kau masih di sini. Lari saja!” Suara Molly tidak puas hati. Jasmin menjegilkan mata.

“Kau belum faham lagi kah, Molly? Aku perlu lindungi Mama.” Lagu Qi Li Xiang larut dalam kemarahannya. Dia menarik-narik hujung jari, memandang pantulan wajah di cermin. Tidak ada lagi rambut pepat yang pernah menutupi dahi. Sudah seperti lelaki — seperti Aron yang sedang mewarnakan rambut pelanggan di kerusi sebelah.

Jeda.

Lagu sudah habis diputar. Aron menukar cakera padat dan memilih lagu Ye Qu. Alunan muzik hiba membuatkan kepala Jasmin beroleng-oleng, seolah-olah dia sendiri yang baru kematian kekasih. Sampai di pertengahan minit tiba-tiba lagu berhenti mendadak.

Aron bangun untuk memeriksa. Cakera padat sudah tercalar.

***

Malam hitam itu, Aron mengiringi Jasmin pulang ke rumah.

“Terima kasih,” ucap Jasmin. Aron sekadar mengangguk.

Lampu cerah di luar menjadi pedoman untuk mereka kembali ke rumah kedai nombor 04-B.
Rumah berbau tengik arak. Jasmin melangkah berhati-hati mengelak botol arak yang berselerak di atas lantai. Dia menahan loya.

Aron menunggu di depan pintu dengan beg galasnya yang berat. Tidak ada tanda-tanda Baba Jasmin di rumah malam itu. Aron fikir semuanya sudah selamat. Hanya saja malam itu dia terlupa untuk memeriksa lebih teliti. Apa yang terjadi seterusnya terlalu ngeri untuk digambarkan.

Dua dekad berlalu, memori itu masih menghantui Jasmin. Tanpa sedar, Jasmin menarik-narik hujung jari dalam keadaan resah. Setelah bertahun-tahun keluar dari kejiranan ini, Kedai Gunting Rambut Molly masih sama. Loceng bergemerencing menyambut di muka pintu. Cuma cat putih oren semakin pudar. Dindingnya dihiasi poster pelbagai fesyen rambut: guntingan poster penyanyi Mandopop dengan skaf bandana yang diikat di kepala, dan beberapa selebriti Melayu. Turut ada, poster Lisa Blackpink dengan jambul pepat yang menawan.

“Aku masih meminati lagu dendangan Jay Chou.” Molly mengacukan mulut ke arah poster Jay Chou, penyanyi Mandopop yang terpampang di dalam kedai gunting rambut tersebut.

“Walaupun semakin tua, aku masih menganggap Qi Li Xiang sebagai lagu cinta paling manis. He… hee… Padahal aku masih belum berkahwin. He… hee…” Molly berjenaka kendur, cuba menyorokkan perasaan sedih. Suaranya kelat.

“Aku akan memutar lagu Ye Qu apabila merindui orang yang telah meninggal dunia. Dan tentunya setiap kali memutar lagu-lagu itu, aku terkenang adikku, Si Aron itu. Dia ikutkan saja perangai aku yang gila Mandopop.”
Aron ialah adik Molly, sangat cermat menggunting rambut, namun lebih diam berbanding Molly — dan selalu — Aron akan memutarkan lagu baharu dari koleksi cakera padat yang bertimbun.

Kenangan itu membuatkan Jasmin menarik-narik hujung jari tanpa sedar. Dia terkenang zaman mudanya yang kacau. Zaman dia berperawakan jantan, berambut pendek dan bercakap kasar — semuanya kerana mahu tampak kuat di hadapan Baba. Zaman itu juga dia gila bayang dengan Aron.

***

“Sebenarnya, apa hajat kau ke mari?” Pertanyaan itu membawa Jasmin kembali ke realiti. Hujung jarinya mulai kebas.

“Aku datang bagi pihak Mama. Dia minta aku menyampaikan permohonan maaf.”

Molly menekur lantai.

“Jika ini tentang Aron, aku sudah lama maafkan. Kau dua beranak tidak bersalah atas kematiannya.”

“Aku memang hendak berbincang tentang kematian Aron. Ada hal yang kau tidak tahu, Molly.”

Molly mengangkat muka. “Ada apa?”

“Kematian Aron ada kaitan dengan Mama aku,” Jasmin menjelaskan.

“Maksud kau?”

“Pada malam kejadian, Mama sebenarnya mahu melarikan diri. Kau masih ingat kan? Waktu itu Baba makin ganas, sudah jadi kaki botol. Mama tak tahan. Dia mahu lari.”

“Sebab itukah polis jumpa dia dengan beg besar?” Molly cuba mengingati kembali kisah silam. Jasmin mengangguk.

“Benar. Tetapi ada cerita lain yang tersembunyi.

“Aku tidak tahu rancangan Mama. Sumpah aku tidak tahu, Molly. Aku percaya bulat-bulat dia melarikan diri seorang diri. Waktu itu, memang aku marah sebab dia mahu tinggalkan aku bersama Baba. Tapi, lama-lama aku faham. Mungkin dia terdesak. Hanya mahu melepaskan diri. Sehinggalah… beberapa minggu lepas, keadaan Mama semakin tenat. Dia meracau di tempat tidur. Dia beritahu, mendiang Aron datang di dalam mimpi, minta diceritakan semuanya.”

“Cerita apa?”

Jasmin mengeluh berat. “Sebenarnya, Mama merancang untuk lari bersama Aron.” Molly tergamam. Jasmin menarik-menarik lagi hujung jari.

“Mama dan Aron… Mereka ada hubungan sulit.”  Air mata Jasmin meluru turun.

“Mereka mahu lari setelah menghantar aku pulang.”

Jasmin menceritakan apa yang terjadi malam itu. Bagaimana Aron menemaninya dengan beg galas berat. Apabila ditanya, Aron cuba mengelak dan tidak memberikan jawapan.

“Tapi, Aron mencintai kau…” Molly masih belum percaya.

“Hakikatnya, aku ditipu hidup-hidup, Molly!” Jasmin mengetawakan diri sendiri. Matanya mencerlang benci.

“Semua orang tertipu kecuali Baba. Aku percaya Baba bunuh Aron setelah dapat tahu tentang hubungan sulit itu.”

 


Pengarang :