EXCO Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman (tengah) bergambar bersama penunggang e-panggilan dalam program sumbangan kepada peserta RiDE di Dewan MBSA Seri Pagi, Paya Jaras, Sungai Buloh pada 15 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Menteri: Syarikat perkhidmatan e-panggilan diminta beri penjelasan isu kenaikan tambang

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Kementerian Pengangkutan sedang meneliti dan berbincang dengan syarikat perkhidmatan e-panggilan berhubung aduan serta rungutan orang ramai mengenai kenaikan kadar tambang yang dikatakan semakin mahal sehingga membebankan pengguna.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata pihaknya telah mengarahkan pengurusan tertinggi memanggil syarikat terbabit untuk memberi penjelasan segera berhubung perkara itu.

“Kalau dikatakan RM20 jadi RM70 dalam keadaan sekarang ia dilihat membebankan rakyat, jadi saya rasa sebagai penggubal dasar, kita akan melihat sama ada mana-mana pihak mengambil kesempatan untuk mencari keuntungan.

“Saya juga telah minta Agensi Pengangkutan Awam Darat tengok balik, minta syarikat terangkan dan bagi penjelasan apa sebenarnya berlaku, saya jangka dalam sehari dua syarikat patut terangkan barulah kita boleh lihat dari segi apa patut kita buat sama ada galakkan saingan lebih banyak,” katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan lif dan eskalator di stesen LRT Ampang Park hari ini.

Beliau juga berkata kementerian itu tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat yang dikesan cuba mengambil kesempatan untuk mencari keuntungan dengan meningkatkan harga atau memanipulasi kadar tambang e-panggilan.

Tambang perkhidmatan itu dilaporkan meningkat hingga 400 peratus pada waktu puncak sehingga mencetuskan rasa tidak puas hati pengguna dan beberapa pihak lain kerana disifatkan tidak masuk akal sekali gus menggesa campur tangan kerajaan.

– BERNAMA


Pengarang :