BUDAYARENCANA

Metafiksyen esok

Oleh Lokman Hakim

Suatu petisyen telah dibuat peminat-peminat watak Black Panther lakonan mendiang Chadwick Bosemen supaya dikekalkan sahaja watak itu dalam filem-filem Marvel seterusnya. Watak itu begitu ikonik bagi warga kulit hitam kerana ia suatu representasi hero daripada kalangan warga kulit hitam. Meskipun Chadwick Bosemen sudah meninggal dunia lantas menjadi faktor utama mengapa Marvel mahu menguburkan terus watak ini, peminat-peminat filem Marvel mengharapkan watak itu dihidupkan semula oleh pelakon kulit hitam yang lain.

Mutakhir ini, fiksyen sering dijadikan alat untuk menyokong suatu konsep di luar gagasan penceritaan. Pembaca ataupun penonton sering mencari makna ataupun jawapan ke atas persoalan-persoalan realiti sebenar melalui fiksyen. Memandangkan ia fiksyen yang tidak diladeni definisi metafiksyen selaku kerangka penghasilannya, interprestasi yang menjauhi konteks penghasilan fiksyen itu sering terhasil. Impak fiksyen selaku senjata luar konteks ini kian pantas tersebar dalam masyarakat melalui kewujudan media sosial. Masyarakat mempraktikkan metalepsis ke atas setiap fiksyen yang ditelahi lantas mengaitkannya dengan peribadi sendiri.

Melihat kecenderungan sebegini, barangkali wajar untuk pengarang melihat aspek-aspek luaran yang membantunya mencipta sebuah fiksyen lantas menerapkannya selaku identiti fiksyen itu sendiri. Sebagai contoh, sebelum sesebuah karya disiapkan, pengarang ataupun penerbitnya akan mengeluarkan iklan acah mengenai karya tersebut demi memaklumkan khayalak pembaca mengenai kewujudan karya tersebut. Selain daripada itu, pengarang yang sudah punya banyak karya dan dikenali umum boleh juga mengumumkan beberapa persoalan di media sosial untuk penulisan seterusnya. Setiap pendapat pembaca ataupun pengikut di media sosial ditelahi dan dijadikan kerangka asas penceritaan fiksyen yang hendak dihasilkan.

Saya fikir metafiksyen esok ialah mengenai keruntuhan tembok penceritaan. Media sosial mempengaruhi pengarang lantas menuntutnya untuk menyerap sebaik mungkin interaksinya dengan khalayak media sosial dalam penghasilan sesebuah karya. Sebuah cerpen ataupun novel tidak lagi terbatas oleh beberapa perenggan ayat ataupun senaskhah buku tebal. Ia kini merangkumi gagasan pengarang, penerbit, pembaca, interaksi sesama pihak dan juga setiap ciapan mengenainya di media sosial.

Novel Don Quixote bukan sahaja dikenali selaku novel pertama tetapi juga merupakan sebuah prototaip metafiksyen di mana pengarangnya sering mengingatkan pembaca bahawa mereka sedang ‘membaca’ pengembaraan Don Quixote. Novel ini juga telah mempengaruhi sekian banyak karya sastera dan banyak kajian yang ditulis mengenainya. Ia juga telah diterjemah bukan sahaja dalam banyak bahasa tetapi juga bentuk di mana filem, drama, lukisan dan banyak lagi jenis karya seni yang terhasil bertunjangkan pengaruh novel penting ini. Dalam erti kata lain, ‘novel Don Quixote’ sudah merentasi bentuk asalnya dan harus dilihat gagasan baharu yang dipengaruhi dan membentuk suatu penceritaan globalistik.

Justeru, apakah metafiksyen esok untuk Don Quixote? Adakah buku tulisan Goenawan Mohamad yang berjudul Si Majenun dan Sayid Hamid bolehlah dilihat selaku suatu penegasan bahawa Don Quixote adalah sebuah fiksyen secara implisit? Adakah kisah Donquixote Flamingo dan para lanun dalam manga One Piece boleh dianggap suatu cerita sambungan daripada novel Don Quixote? Pastilah tidak.

Nah, janggal andai kita memetik setiap garapan non-fiksi di luar novel asal Don Quixote selaku suatu bentuk metafiksyen ke atas novel agung itu. Namun saya mahu kita merenung kembali perspektif kita terhadap batasan tembok penceritaan yang dibentuk senaskhah buku.

Penceritaan tidak lagi wajib dibukukan dalam bentuk konvensional seperti buku fizikal ataupun mutakhir ini, e-buku. Ciapan di Twitter misalnya menyajikan penceritaan segar yang mudah tersebar melalui ribuan retwit. Bayangkan begini: Cerakinkan fiksyen yang digarap dalam pelbagai bentuk media digital. Prolog di dalam bentuk gif. Bab 1 di dalam bentuk catatan yang dibingkaikan selaku gambar di instagram. Bab 2 pula untaian ciapan di twitter. Gunakan kreativiti supaya senarai bentuk fiksyen itu diceritakan melampaui imaginasi.

Jika dahulu pemuzik menerbitkan album konsep yang setiap lagu di dalam album tersebut membawa tema serupa ataupun membentuk suatu naratif apabila didengar dari mula hingga akhir. Contohnya seperti album American Idiot, album konsep Greenday yang agak sukses sebelum kemunculan Spotify. Kini, pendengar tidak lagi peduli pada kesatuan tema ataupun gagasan cerita yang dibawa oleh beberapa buah lagu di dalam sebuah album. Bagaimana pula dengan novel ataupun kumpulan cerpen? Jika membukukan fiksyen tidak begitu berjaya menyebarkannya kepada khalayak umum, tidak salah mencuba kaedah lain. Yang penting, kisah itu tidak terperap di suatu sudut kedai buku yang ditimbuni habuk.

Metafiksyen esok ialah suatu kenyataan bertulis mengenai fiksyen yang dibukukan dan terletak di luar buku. Ia boleh jadi untaian di twitter, status berperenggan di Facebook, sebuah esei sastera di blog ataupun sebuah video di YouTube. Namun itupun jika kita dapat terima sebuah naratif yang tidak dijilid dalam senaskhah buku. Hakikatnya, kita sudah mendepani buku-buku yang merupakan himpunan kata-kata di Twitter ataupun Facebook sebelum ini dan jualannya agak laris sebelum krisis ekonomi dan petaka politik merudumkan jualan buku di seluruh negara.

Metafiksyen esok ialah suatu pemberitahuan mengenai kewujudan sebuah kisah yang dinaratifkan seorang pengarang yang tahu kekuatan media sosial selaku ‘sampul buku’ yang apabila diselak lembarannya, ramai orang mampu membacanya meskipun para pembaca itu jarang menjejaki kedai buku.

Buku tidak akan mati. Sastera juga begitu. Kita harus belajar untuk menerima bentuk baharu dari semasa ke semasa.

 


Pengarang :