Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah kelihatan kabur ekoran jerebu ketika tinjauan di sekitar Shah Alam pada 20 September 2019. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MetMalaysia: Guna air secara berhemah, elak pembakaran terbuka bagi bendung jerebu

SHAH ALAM, 14 MEI: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meminta orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka bagi mengurangkan kesan berlakunya jerebu dan pencemaran alam sekitar.

Menurut MetMalaysia ia berikutan bilangan hari tanpa hujan adalah lebih banyak berbanding bilangan hari hujan di kebanyakan tempat sepanjang tempoh Monsun Barat Daya.

“Fenomena jerebu boleh berlaku jika pembakaran terbuka tidak terkawal. Oleh itu orang ramai diminta sentiasa peka dengan maklumat cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Terdahulu MetMalaysia mengumumkan Monsun Barat Daya dijangka bermula hari ini dan berterusan sehingga pertengahan September tahun ini

Ketua Pengarahnya Muhammad Helmi Abdullah berkata semasa tempoh ini fenomena jerebu boleh berlaku sekiranya pembakaran terbuka tidak terkawal terutamanya sepanjang Ogos hingga Oktober.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh ini.

Maklumat cuaca terkini boleh diperoleh melalui laman web, aplikasi mobil myCuaca, media sosial dan hubungi hotline Jabatan Meteorologi Malaysia di 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.


Pengarang :