EXCO Pengangkutan Awam Ng Sze Han bercakap kepada media selepas merasmikan pembukaan laluan pertukaran Bandar Rio di Bandar Puteri Puchong, Subang Jaya pada 27 Mei 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MOT digesa pandang serius isu gangguan perkhidmatan LRT

SUBANG JAYA, 28 MEI: Kementerian Pengangkutan (MOT) digesa memandang serius isu gangguan perkhidmatan Aliran Transit Ringan (LRT) yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini bagi mengelak insiden sama berulang.

EXCO pengangkutan awam berkata masalah kelewatan dan kerosakan tidak seharusnya berlaku kerana akan menjejaskan ribuan pengguna yang bergantung sepenuhnya terhadap perkhidmatan tersebut khususnya untuk ke tempat kerja.

“Kita rasa dukacita kerana LRT sering mengalami kerosakan. Sepatutnya ia tidak boleh terjadi kerana selama ini Kerajaan Negeri bekerja keras untuk menggalakkan lebih ramai orang guna pengangkutan awam.

“Diharap kementerian berkaitan melihat isu ini dengan lebih serius. Pengguna memerlukan perkhidmatan LRT yang tepat pada masa selain kekerapan perjalanan terutama pada waktu puncak,” kata Ng Sze Han pada sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan laluan pertukaran Bandar Rio di Bandar Puteri Puchong di sini semalam.

Mengulas lanjut, Sze Han yang juga Ahli Dewan Negeri Kinrara berkata kegagalan pihak terbabit memperbaiki mutu perkhidmatan dikhuatiri mengurangkan minat orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam selepas ini.

“Banyak aduan diterima di media sosial yang mana pengguna tidak lagi yakin untuk menaiki LRT selepas beberapa kali terperangkap, sebaliknya memilih untuk memandu sendiri. Ini turut menyumbang kepada kesesakan lalu lintas di Lembah Klang akhir-akhir ini.

“Sekiranya mereka (syarikat pengangkutan awam) tidak dapat beri satu perkhidmatan yang selamat dan tepat pada masa, maka sukar untuk menggalakkan orang ramai menaiki pengangkutan tersebut,” katanya.

Pada 24 Mei lalu, perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya sekali lagi berdepan masalah kelewatan selepas mengalami gangguan sama empat hari sebelumnya akibat masalah teknikal.

Rapid Rail memaklumkan gangguan sementara itu ekoran masalah bekalan kuasa elektrik di dua ‘Traction Power Sub Station’ di Stesen Taman Jaya dan Stesen Universiti.


Pengarang :