Operasi merobohkan struktur tambahan oleh kakitangan Majlis Perbandaran Ampang Jaya pada 25 Mei 2022. Foto Facebook MPAJ
PBTSELANGOR

MPAJ roboh struktur tambahan rumah flat dibina tanpa kebenaran

SHAH ALAM, 31 MEI: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) merobohkan struktur tambahan yang dibina tanpa kebenaran membabitkan sebuah unit kediaman di Blok 4, Flat UTM, AU3/1, Ampang.

Menurut MPAJ, operasi pada 25 Mei lalu itu membabitkan Jabatan Bangunan dan Senibina serta Jabatan Penguatkuasa pihak berkuasa tempatan berkenaan.

“Tindakan notis dan roboh serta-merta dilaksanakan berdasarkan Akta Jalan, Parit & Bangunan (Akta 133) berikutan tambahan struktur baharu di bahagian tepi serta belakang yang tidak dibenarkan bagi bangunan kediaman bertingkat,” kata MPAJ dalam kenyataan di Facebook.

Mengulas lanjut, MPAJ berkata struktur tambahan menggunakan ruang harta bersama adalah satu kesalahan mengikut Akta 133 dan Akta 757 kerana ia bukan hak mutlak pemilik tetapi dikongsi secara bersama penghuni lain.

“Kediaman berstrata seperti flat, apartmen dan kondominium terikat dengan Akta 757 di mana lot petak hanya terhad kepada keluasan petak yang dibeli sahaja.

Keadaan selepas struktur tambahan dirobohkan. Foto Facebook MPAJ

“Isu keselamatan penduduk sekitar juga perlu diambil kira sekiranya tambahan rumah itu kelak mengganggu kerja-kerja menyelamat oleh pihak bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang malapetaka seperti kebakaran dan sebagainya,” katanya.

MPAJ berkata, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Bahagian Pesuruhjaya Bangunan (COB) MPAJ di talian 03-4285 7110.


Pengarang :