Sebahagian sukarelawan yang membantu misi pembersihan pascabanjir di Kerling, Hulu Selangor pada 19 Mei 2022. Foto Facebook MPHS
PBTSELANGOR

MPHS hargai komitmen 340 sukarelawan jayakan misi pascabah di Kerling

SHAH ALAM, 20 MEI: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menghargai pembabitan 340 anggota sukarelawan yang membantu menjayakan misi pascabah di Kerling semalam.

Yang Dipertuanya Mohd Hasry Nor Mohd turut menghargai komitmen pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi kerajaan yang turun padang dalam operasi pembersihan di kawasan terjejas.

“Terima kasih atas sumbangan rakan-rakan PBT dan agensi kerajaan yang turun membantu sehingga kerja pembersihan dapat dilakukan secara menyeluruh di kawasan terlibat,” katanya dalam kenyataan.

Antara PBT terlibat adalah Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Perbandaran Selayang, Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Majlis Perbandaran Kuala Langat.

Operasi turut disertai Majlis Perbandaran Klang, Majlis Daerah Sabak Bernam selain Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Gombak, PTD Hulu Langat, KDEB Waste Management, Jabatan Kerja Raya serta Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.

Mohd Hasry berkata operasi diteruskan bagi membersihkan beberapa kawasan terutama Kampung Jawa dengan 99 peratus selesai dilaksana sehingga jam 1.30 petang semalam.

“Sukarelawan dibahagikan kepada empat zon dengan setiap zon diberi tugasan tertentu seperti membersihkan bangunan awam, kawasan perumahan, jalan utama, surau, balai raya dan padang futsal,” katanya.

Hujan lebat lebih tiga jam di beberapa daerah di negeri ini Isnin lalu menyebabkan banjir kilat di Hulu Selangor.

Antara kawasan terkesan ialah Kerling, Kampung Kelapa, depan persimpangan Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kuala Kubu Bharu dan perumahan Taman Serendah Makmur.


Pengarang :