Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) Rahilah Rahmat menyerahkan tiga unit bot penyelamat kepada wakil Pasukan Tindakan Segera (Pantas) pada 10 Mei 2022. Foto Facebook MPKS
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MPKS tambah tiga bot penyelamat, siap siaga hadapi bencana

SHAH ALAM, 10 MEI: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) menambah tiga lagi unit bot penyelamat untuk digunakan Pasukan Tindakan Segera (Pantas) sebagai persediaan menghadapi sebarang musibah.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menerusi Facebook memaklumkan daripada jumlah tersebut sebanyak dua unit bot fiber dan satu unit bot aluminium serta enjin ditambah bagi kemudahan skuad Pantas.

“Tambahan aset ini bagi membantu memudahkan anggota skuad Pantas MPKS menyalurkan bantuan awal bagi sebarang kes kecemasan atau bencana yang berlaku,” maklum kenyataan itu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) Rahilah Rahmat menyerahkan tiga unit bot penyelamat kepada wakil Pasukan Tindakan Segera (Pantas) pada 10 Mei 2022. Foto Facebook MPKS

Selain itu, MPKS turut menjelaskan dengan tambahan aset itu juga setiap anggota Pantas dapat melakukan operasi menyelamat di kawasan perumahan dengan mudah.

“Semua bot ini ringan dan memudahkan anggota untuk kendalikan operasi menyelamat di kawasan pedalaman sama ada di kampung atau perumahan,” katanya.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar turut menggalakkan semua PBT membeli aset seperti bot atau peralatan menyelamat sebagai persediaan mendepani bencana.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu juga bagi memastikan agensi berkenaan bertindak pantas dalam situasi kritikal terutama banjir.

Justeru, tindakan sama menambah bot penyelamat itu turut dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).


Pengarang :