SUBANG JAYA, 13 MEI: Dua projek infrastuktur di Bandar Puchong Jaya di sini bakal mengurangkan kesesakan lalu lintas yang dihadapi penduduk di 10,000 kediaman.
Menurut wakil rakyat Kinrara Ng Sze Han, projek tersebut meliputi naik taraf persimpangan jalan antara Jalan Pipit dan Jalan Merbuk dengan kos RM400,000.
Manakala projek kedua membabitkan pembinaan persimpangan sepanjang 500 meter dari Bukit Tandang ke Puchong Jaya bernilai RM30 juta yang bermula pada Julai.
“Untuk projek pertama, dua persimpangan lampu isyarat di situ mengakibatkan kesesakan. Jadi, ia akan dinaik taraf menjadi satu persimpangan sahaja yang akan disiapkan dalam tempoh tiga bulan.
“Kedua-dua projek ini akan membantu menyelesaikan masalah lalu lintas sehingga 80 peratus,” katanya selepas meninjau persimpangan berkenaan hari ini.
Jelasnya, kedua-dua projek jangka pendek dan panjang itu dibiayai Majlis Bandaraya Subang Jaya.