Selangorkini
Penyelia Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Nooraini Ahmad Zaki memberi kauseling kepada guru Kafa ketika program vaksinasi khas guru Kafa dan pegawai masjid di Dewan Syarahan dan Muzakarah, Masjid Negeri, Shah Alam pada 22 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Negeri hargai guru Kafa, teliti isu kontrak dengan Jais

SHAH ALAM, 18 MEI: Kerajaan Selangor akan meneliti isu kontrak sekumpulan guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) yang didakwa enggan divaksin bersama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan perkara itu harus disemak daripada segenap aspek supaya nasib golongan berkenaan terbela.

“Jumlahnya kecil (tidak ambil vaksin), tetapi itu bukan bermakna kita mengabaikan mereka. Sudah pasti pelbagai aspek kita teliti dan perlu mendapatkan maklumat.

“Saya perlu dapatkan (maklumat) daripada Jais kerana urusan kontrak berkaitan Bahagian Pendidikan Jais. Kita akan kenal pasti perkara tersebut,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) rentas Selangor dan Negeri Sembilan bagi projek tanaman jagung bijirin di sini hari ini.

Amirudin menambah semua pihak perlu mempunyai kesedaran dan berganding-bahu membentuk imuniti kelompok bagi terus menangani pandemik Covid-19.

Jelasnya, perkara itu sukar dicapai jika ada segelintir pihak enggan mengambil pelalian kecuali mempunyai laporan doktor bahawa mereka tidak boleh berbuat demikian.

“Jadi itu pendirian kita tetapi sudah pasti kita memahami aspek kebajikan guru-guru yang selama ini banyak menyumbang,” katanya lagi.

Semalam, media melaporkan sekumpulan guru Kafa yang menolak vaksin didakwa teraniaya apabila diarah bertugas meskipun digantung elaun sejak Mac lalu.


Pengarang :