Selangorkini
EXCO Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Negeri Selangor (Limas) Dato’ Teng Chang Khim bercakap kepada media selepas perasmian sambutan Hari Wesak Peringkat Negeri Selangor di Tokong Fo Guang Shan Dong Zen, Kuala Langat pada 14 Mei 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Negeri peruntuk hampir RM70 juta bantu persatuan agama selain Islam

KUALA LANGAT, 14 MEI: Kerajaan Negeri memperuntuk sebanyak RM69.4 juta kepada persatuan agama selain Islam sejak 2009 hingga kini.

EXCO Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (Limas) Dato’ Teng Chang Khim berkata peruntukan itu disalur mengikut keperluan dan bukannya melalui Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Limas berperanan dalam menyelesaikan masalah-masalah atau isu yang timbul mengenai bangunan keagamaan selain Islam selain menyalurkan peruntukan kewangan kepada setiap bangunan keagamaan di Selangor.

“Sumbangan diberikan ini bertujuan untuk kegunaan membaik pulih rumah keagamaan, melaksanakan aktiviti keagamaan dan bantuan khas perayaan selain Islam,” katanya.

Chang Khim berucap dalam majlis perasmian sambutan Hari Wesak peringkat negeri di Tokong Fo Guang Shan Dong Zen, Jalan Sungai Buaya Jenjarom hari ini. Majlis dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Jelas beliau, peruntukan itu dibahagikan mengikut jumlah penganut agama utama di Selangor yang mana data populasi diperolehi daripda Jabatan Perangkaan Malaysia.

“Berdasarkan data ini peratusan untuk pembahagian peruntukan kepada persatuan agama Buddha, Tao dan lain-lain adalah sebanyak 60.47 peratus.

“Manakala persatuan agama Hindu adalah 28.75 peratus, persatuan agama Kristian adalah 9.42 peratus dan persatuan agama Sikh pula 1.36 peratus,” katanya.


Pengarang :