Penduduk menjalani pemeriksaan kesihatan percuma melalui program Selangor Saring di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Chih, Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 22 Mei 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri rujuk individu berisiko hidap penyakit bahaya ke hospital pakar

KLANG, 25 MEI: Individu berisiko menghidap penyakit berbahaya selepas menjalani saringan kesihatan percuma melalui program Selangor Saring akan segera dirujuk ke klinik atau hospital pakar.

Ahli penasihat kesihatan awam Selangor berkata arahan berbuat demikian dimaklumkan kepada pesakit melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dalam tempoh 48 jam selepas saringan.

Menurut Dr Mohammad Farhan Rosli, Kerajaan Negeri akan membiayai sepenuhnya kos bagi mengesahkan individu berkenaan benar-benar didiagnos penyakit tertentu.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr Mohammad Farhan Rusli bercakap ketika sesi taklimat program Selangor Saring di Hotel Wyndham Acmar, Klang pada Mei 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Uniknya program Selangor Saring ialah ujian makmal dijalankan oleh Selcare Diagnostics Sdn Bhd manakala Selangkah Venture Sdn Bhd menjalankan penyediaan sistem dan pengoperasian data yang dimiliki Selgate Corporation Sdn Bhd.

“Selepas saringan seseorang itu positif atau mempunyai risiko (penyakit), mereka akan dirujuk ke pakar yang berkolaborasi dengan kita untuk mendapat pengesahan antaranya Universiti Teknologi Mara (UiTM), Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan Pusat Mammogram.

“Pesakit boleh pilih tarikh untuk berjumpa pakar mengikut kesesuaian mereka melalui SELangkah,” katanya dalam sesi taklimat program Selangor Saring di Hotel Wyndham Acmar semalam yang turut disertai EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud.

Mohammad Farhan menambah Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) akan diaktifkan sepanjang program saringan yang dijadual berlangsung dari 22 Mei hingga 4 September.

Menurutnya, sukarelawan akan membantu kelancaran program selain menghantar pesakit ke klinik atau hospital panel jika tiada kenderaan.

“Ini bermakna program kita bukan sekadar pemeriksaan kesihatan semata-mata tetapi memastikan individu yang didiagnos mendapat kemudahan sewajarnya.

“Kemudian pesakit akan dimasukkan klinik kesihatan atau hospital kerajaan untuk mendapatkan rawatan susulan,” katanya lagi.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi menjayakan Selangor Saring yang bakal memanfaatkan 39,000 penduduk khasnya yang ada sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui pautan http://selangorsaring.selangkah.my, hubungi talian Selcare 1-800-22-6600 atau Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor melalui http://drsitimariah.com/talian-suka/.


Pengarang :