AGENDANASIONAL

Nelayan berusia 74 tahun dikhuatiri lemas selepas candat sotong

KUALA TERENGGANU, 17 MEI: Operasi mencari dan menyelamat seorang nelayan tempatan yang disyaki terjatuh ke dalam laut di perairan Chendering di sini awal pagi semalam, diperluas hingga kepada 20.28 batu nautika persegi dari tempat kejadian hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata usaha mencari dan menyelamat T.Razali Wok, 74, yang dihentikan pada pukul 7 malam tadi disambung semula kira-kira pukul 7 pagi ini.

Beliau berkata selain kawasan pencarian, kekuatan aset dan anggota turut ditambah bagi melancarkan usaha pencarian mangsa.

“Usaha pencarian hari ini akan melibatkan tambahan sebuah pesawat AW 139 milik APMM yang diterbangkan dari Lapangan Terbang Subang ke lokasi pencarian.

“Seramai 85 orang termasuk anggota APMM, Jabatan Perikanan dan nelayan tempatan terlibat dalam operasi hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam warga emas itu dipercayai terjatuh kira-kira pukul 5.30 pagi ketika dalam perjalanan pulang selepas mencandat sotong bersama tiga rakan termasuk tekong.

— BERNAMA


Pengarang :