Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melakukan sekatan jalan raya pada Operasi Bersepadu JPJ Selangor sempena Kick-off Ops Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri di Plaza Tol Sungai Besi pada 29 April 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Op Hari Raya Aidilfitri: Aplikasi e-Aduan@JPJ rekod 245 aduan

KUALA TERENGGANU, 9 MEI: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan sebanyak 245 aduan yang dilaporkan orang ramai melalui aplikasi e-Aduan@JPJ sepanjang tempoh Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Op Bersepadu sempena Aidilfitri yang bermula 29 April lepas.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Aedy Fadly Ramli berkata kesalahan tertinggi yang dilaporkan adalah memotong barisan dan menggunakan laluan kecemasan.

“Aplikasi ini baru sahaja dilancarkan seminggu sebelum Aidilfitri dan kita mendapat kerjasama yang amat baik daripada pengguna jalan raya di seluruh negara. Sebahagian aduan itu telah diambil tindakan dalam tempoh 48 hingga 72 jam.

“JPJ mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang sudi membantu kami untuk menguatkuasakan undang-undang jalan raya dengan cara melaporkan kejadian melalui video dan gambar yang sah melalui sistem e-Aduan@JPJ,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau hari terakhir Op Hari Raya Aidilfitri 2022 dan Op Motosikal yang turut dihadiri Pengarah JPJ Terengganu Zulkarnain Yasin di sini, malam tadi.

Aplikasi e-aduan boleh dimuat turun melalui Google Play untuk pengguna telefon pintar jenis Android dan orang ramai juga perlu mengaktifkan sistem kedudukan global (GPS) bagi memudahkan pengesanan lokasi.

Dalam pada itu, Aedy Fadly berkata sebanyak 89,490 kenderaan telah diperiksa sepanjang tempoh Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Op Bersepadu sempena Hari Raya Aidilfitri di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 18,690 notis pelbagai kesalahan telah dikeluarkan dan kesalahan tertinggi yang dikesan ialah tidak memiliki lesen memandu dan tidak memperbaharui cukai jalan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :