Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman Datuk Aidi Ismail (belakang, dua kiri) menyampaikan Piala Pusingan Ketua Polis Negara (KPN) kepada Kontinjen Polis Selangor yang menjadi juara keseluruhan Pertandingan Sepak Takraw Piala KPN di Seremban pada 14 Mei 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Op Selamat 18: Kes pecah rumah di seluruh negara catat penurunan

SEREMBAN, 15 MEI: Kadar jenayah pecah rumah pada Ops Selamat 18 sempena perayaan Aidilfitri sejak 29 April hingga 8 Mei di seluruh negara, mencatatkan penurunan dengan 350 kes berbanding Ops Selamat pada 2019 iaitu sebanyak 790 kes.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Aidi Ismail berkata penurunan sebanyak 440 kes itu, jelas menunjukkan peranan dan kesedaran orang ramai yang mula menjaga keselamatan rumah masing-masing.

“Ia termasuklah dengan cara memasang penggera keselamatan dan kamera litar tertutup (CCTV) di kediaman, serta kawalan secara berkala pihak berkaitan.

“Terima kasih pada semua masyarakat yang bukan sahaja memberi maklumat kepada pihak polis, tetapi menjaga kediaman masing-masing sepanjang perayaan Aidilfitri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis penutup Kejohanan Sepak Takraw Piala Ketua Polis Negara, yang turut dihadiri Ketua Polis Negeri Sembilan DCP Datuk Ruslan Khalid di sini hari ini.

Dalam pada itu Aidi berkata orang ramai dinasihatkan untuk tidak leka dan tetap mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan, meskipun terdapat beberapa kelonggaran berhubung langkah kawalan dan pencegahan Covid-19 berkuat kuasa pada 1 Mei lepas.

Jelasnya pihak berkuasa juga akan membuat pemantauan berterusan bagi memastikan pematuhan SOP di tempat yang sepatutnya adalah dipatuhi.

– BERNAMA


Pengarang :