Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Razarudin Husain bercakap pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Op Selamat 18/2022 sempena Hari Raya Aidilfitri di Menara Telekom Malaysia (TM), Kuala Lumpur pada 26 April 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Op Selamat 18: Selangor catat 2,448 kes kemalangan, 16 kes maut

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Selangor menjadi negeri dengan jumlah kes kemalangan dan jumlah kemalangan maut tertinggi dalam Op Selamat 18 setakat semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Razarudin Husain berkata sepanjang tujuh hari operasi berkenaan yang dilancarkan pada 29 April, Selangor mencatat 2,448 kes kemalangan, diikuti Johor (1,632 kes), Perak (1,160 kes), Kuala Lumpur (991 kes), Pulau Pinang (953 kes), Kedah (777 kes), Pahang (636 kes).

Katanya lagi sebanyak 597 kes dilaporkan di Kelantan, Negeri Sembilan (592 kes), Melaka (484 kes), Sarawak (386 kes), Terengganu (384 kes), Sabah (363) dan Perlis (86 kes).

“Bagi jumlah kes maut pula Selangor mencatat 16 kes, diikuti Perak dan Johor yang masing-masing mencatat 14 kes, Pahang (11 kes), Kelantan (11 kes), Kedah (sembilan), Pulau Pinang (sembilan), Negeri Sembilan (lapan), Sarawak (lapan), Terengganu (tujuh), Sabah (lima), Kuala Lumpur (empat), Perlis (tiga) dan Melaka (dua),” katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, katanya semalam sebanyak 1,673 kes kemalangan dengan 12 kes kematian dicatatkan.

Katanya setakat semalam sebanyak 214,750 saman dikeluarkan ke atas pelabagai kesalahan trafik terhadap pengguna jalan raya dengan 37,926 saman dikeluarkan semalam.

– BERNAMA


Pengarang :