EXCO Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim melawat gerai pameran selepas merasmikan program Jelajah Agro Selangor 2022 di Central i-City, Shah Alam pada 27 Mei 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Orang muda, suri rumah digalak sertai Jelajah Agro Selangor

SHAH ALAM, 28 MEI: Orang muda dan suri rumah digalak menyertai Jelajah Agro Selangor yang bermula di Central I- City di sini semalam.

EXCO pertanian Ir Izham Hashim berkata jelajah membabitkan 22 gerai itu bukan sekadar pameran pertanian sebaliknya membantu golongan berkenaan menjana pendapatan tambahan.

“Seperti di Shah Alam kita fokus kepada agro bandar di mana memanfaatkan kawasan kecil tetapi hasil yang tinggi supaya anak muda dan wanita dapat hasil sampingan.

“Malah ia boleh dijadikan kerjaya kerana di bandar ini ada potensi di mana ada pertanian dalam bangunan seperti yang ada di Taman Shamelin yang menghasilkan salad berkualiti tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini selepas melancarkan program berkenaan, malam tadi.

Izham berkata pendedahan dan bimbingan akan diberikan kepada mereka yang berminat untuk mengusahakan pertanian.

“Kita ada Ikon Agro Selangor juga di sini dan mereka ini akan membantu kerana telah berjaya dalam bidang masing-masing,” katanya.

Kerajaan Negeri menerusi Jawatankuasa Tetap Pertanian, Perladangan dan Industri Asas Tani menganjurkan Jelajah Agro Selangor selama empat hari bermula semalam di Central I-City.

Program bermula jam 10 pagi hingga 10 malam itu akan diteruskan di Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor.

 


Pengarang :