Orang ramai masih menggunakan pelitup muka ketika mengunjungi Taman Tema Air Wet World Shah Alam pada 2 Mei 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASELANGOR

Orang ramai masih patuhi SOP ketika cuti sempena Aidilfitri

SHAH ALAM, 2 MEI: Petang 1 Syawal dimanfaatkan orang ramai dengan mengunjungi pusat riadah sekitar bandar raya ini bagi merakam potret keluarga.

Tinjauan Selangorkini di Jambatan Pelangi Elmina Valley, Wet World dan Taman Tasik Shah Alam di sini mendapati pengunjung teruja meraikan Aidilfitri dalam fasa peralihan endemik selepas dua tahun terikat dengan tatacara operasi piawai (SOP) susulan Covid-19.

Bagaimanapun, di sebalik kelonggaran diberikan, rata-rata mereka masih mengambil langkah waspada dengan memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.

Shaari Ishak, 44, ketika ditemui mengakui seronok dapat membawa keluarga dan sanak-saudara ke taman rekreasi pada petang raya setelah dua tahun tiada gambar di luar bersama.

“Raya tahun ini lebih seronok kerana rakyat diberikan kebebasan selepas dua kali sambutan Aidilfitri sebelum ini kami hanya duduk di rumah.

“Jadi saya ambil peluang membawa mereka berjalan-jalan memandangkan saya beraya di Damansara Damai pada raya pertama dan pulang ke kampung halaman di Perak pada raya ketiga,” katanya.

Sementara itu, Mohd Silmi Kamaruzaman, 38, berkata dia memilih untuk menjaga SOP dengan memakai pelitup muka biarpun taman rekreasi dikunjunginya terletak di luar bangunan.

“Pemakaian pelitup muka masih menjadi satu keperluan walaupun negara sudah beralih ke fasa endemik kerana kita tidak tahu siapa pembawa Covid-19.

“Namun terpulang kepada individu itu sendiri, bagi saya ia masih perlu dipakai apabila berada di luar bangunan, apatah lagi di sini adalah tempat awam,” katanya.

Bagi Nur Syafiqah Syahira Shaari, 18, dia gembira kerana Syawal kali ini lebih meriah apabila dapat merakam foto bersama keluarga dan sanak-saudara lain di luar.

“Seronok dapat berkumpul dan ambil gambar ramai-ramai. Sebelum ini kurang meriah sebab hanya duduk dalam rumah.

“Namun kami tidak akan sesekali mengabaikan SOP kerana kita tidak tahu status kesihatan seseorang itu, jadi seeloknya pakai pelitup muka ketika di luar,” katanya.

Illiyin umar, 26, pula berkata dia akan memakai pelitup muka jika berada di tempat awam kecuali ketika merakam foto berikutan wabak masih belum berakhir.


Pengarang :