Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mendengar pengalaman doktor pelatih sebelum mereka memulakan rondaan di Hospital Selayang pada 13 Mei 2022. Foto Twitter Khairy Jamaluddin
AGENDANASIONAL

Pasukan khas KKM diberi masa dua bulan siasat kes buli doktor pelatih

SHAH ALAM, 13 MEI: Pasukan petugas bebas yang ditubuhkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diberi tempoh dua bulan untuk menyiasat isu buli melibatkan doktor pelatih.

Memaklumkan anggota pasukan itu diumumkan petang ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menambah mereka turut diarah membuat syor untuk memperbaiki budaya kerja di hospital.

“Saya tidak mahu budaya kerja yang toksik di hospital-hospital. Zaman dahulu dan zaman sekarang lain. Suasana kerja mesti ada rasa hormat, saling menyokong dan pemerkasaan.

“Bukan mengeluarkan kata-kata kesat dan memalukan,” katanya di Twitter hari ini.

Dalam pada itu, Khairy turut berkongsi gambarnya melawat dan mendengar pengalaman doktor pelatih di Hospital Selayang sebelum mereka memulakan rondaan pagi ini.

“Banyak perkara yang diluahkan kepada saya. Ada jabatan yang mempunyai persekitaran kerja bagus. Ada pula yang boleh diperbaiki,” katanya lagi.

Pada 17 April lalu, seorang doktor pelatih di Pulau Pinang ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari rumah sewanya di Jalan Datuk Keramat, George Town.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang Dr Maarof Sudin mengesahkan mangsa ialah pegawai perubatan siswazah yang melaporkan diri pada 4 April lalu di Hospital Pulau Pinang (HPP).


Pengarang :