Petugas kesihatan mengambil sampel darah ketika program Selangor Saring di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Chih, Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 22 Mei 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Pekawanis bantu promosi saringan kesihatan percuma, saran rakyat rebut peluang

SHAH ALAM, 27 MEI: Ahli Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) digalak menghebahkan program pemeriksaan kesihatan Selangor Saring di kawasan masing-masing.

Ketua Biro Kebajikan, Sosial dan Perayaan Datin Sharifah Mahiza Syed Abd Kadir berkata program secara percuma anjuran Kerajaan Negeri itu memberi manfaat besar dan orang ramai perlu merebut peluang berkenaan.

“Kita minta ahli mengambil inisiatif menguarkan-uarkan program ini supaya penduduk dapat memeriksa tahap kesihatan masing-masing,” katanya ditemui selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Rumah Puteri Arafiah (RPA) di sini, hari ini.

Penaung RPA Tengku Putri Datin Paduka Hajjah Arafiah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz turut berkenan hadir memeriahkan majlis.

Sebanyak RM3.4 juta diperuntuk Kerajaan Negeri bagi melaksanakan program Selangor Saring yang menumpukan pengesanan penyakit seperti jantung, kencing manis, kanser dan glaukoma.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan program itu dijangka memanfaatkan 39,000 rakyat Selangor terutama golongan berisiko seperti mempunyai sejarah keluarga, berat badan berlebihan dan mengamalkan gaya hidup tidak sihat.

Inisiatif tersebut bermula minggu lalu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok dan diteruskan esok di Grand Sabak Hotel untuk DUN Sabak dan Sungai Air Tawar manakala DUN Sungai Panjang di Dewan Simpang Lima, Sungai Besar.

 


Pengarang :